Apa pilihan selain darurat, soal Annuar


Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata berkata banyak pihak mengancam untuk menjatuhkan perdana menteri pada mesyuarat Parlimen akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

ANNUAR Musa mahu pengkritik Putrajaya mencadangkan alternatif bagi rancangan mengisytihar darurat yang akan mengelak keperluan mengadakan pilihan raya.

Dalam catatan di Facebook, menteri Wilayah Persekutuan bertanya undang-undang mana yang boleh digunakan bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi atau menunda pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

“Bantu saya mencari jawapan perkara berikut, yang berkait dengan ketakutan rakyat terhadap penularan Covid-19. PRK Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari daripada kekosongan, tetapi rakyat minta PRK ditangguhkan dan pegawai takut untuk ke zon merah.

“Tempoh DUN Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan PRN wajib diadakan. Namun semua orang takut apa yang berlaku di Sabah selepas PRN menimpa Sarawak. Mereka minta PRN ditangguh dulu,” katanya dalam hantaran itu.

PRK Batu Sapi diadakan pada 5 Disember susulan kematian bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong pada 2 Oktober.

Tempoh DUN Sarawak berakhir pada Jun.

Catatan Annuar muncul ketika ahli politik dan pakar undang-undang mempersoalkan perlunya menggunakan undang-undang darurat untuk memerangi pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata banyak pihak mengancam untuk menjatuhkan perdana menteri pada mesyuarat Parlimen akan datang.

“Jika itu berlaku maka PM boleh bubarkan Parlimen dan PRU perlu diadakan. Tetapi rakyat tidak mahu pilihan raya diadakan kerana takut merebaknya Covid-19,” tulis Annuar.

Kabinet memutuskan untuk melaksanakan darurat di tengah ketidakstabilan politik dan wabak Covid-19, kata sumber kepada The Malaysian Insight semalam.

“Nampaknya keputusan sudah dcapai,” kata sumber itu berhubung mesyuarat Kabinet khas selama tiga jam di Putrajaya semalam.

“Mereka hanya perlu atur semula perkataan ‘darurat’ agar rakyat tidak panik. Mereka tidak akan menyebutnya ‘darurat’ tetapi akan guna istilah lain. Yang ada kaitan dengan Covid-19,” kata sumber itu. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen