Raja-raja Melayu bincang cadangan darurat, kata sumber


Yang di-Pertuan Agong ingin mendapatkan pandangan semua sultan sebelum menyampaikan keputusan mengenai cadangan darurat kepada perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2020.

RAJA-RAJA Melayu akan mengadakan pertemuan khas hujung minggu ini untuk membincangkan rancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik Covid-19 yang semakin buruk, kata sumber.

Mereka berkata Yang di-Pertuan Agong akan bertemu Raja-raja Melayu untuk mendapatkan pandangan mengenai cadangan darurat.

Beberapa sumber memberitahu The Malaysian Insight, walaupun Agong memiliki kata putus mengenai pelaksanaan darurat, namun beliau ingin mengemukakan cadangan itu kepada semua sultan untuk mendapatkan pandangan.

“Pertemuan akan diadakan pada hujung minggu, selepas itu Agong akan menyampaikan keputusannya mengenai hal itu kepada perdana menteri,” kata satu sumber.

Sumber lain di Putrajaya pula berkata pertemuan itu adalah untuk mendapatkan input daripada Raja-raja Melayu.

Tidak jelas apakah Raja-raja Melayu akan membuat pertemuan secara bersemuka atau maya, secara berkumpulan atau individu dengan Agong.

Semalam, Muyhiddin Yassin dan beberapa menteri kanan menghadap Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang mengenai cadangan darurat.

Terdahulu, pada sebelah pagi, Kabinet dalam mesyuarat khas memutuskan untuk melaksanakan darurat di tengah ketidakstabilan politik dan pandemi Covid-19.

Sumber berkata pengisytiharan darurat dipersetujui untuk mengatasi keadaan Covid-19 yang semakin buruk, tetapi muncul ketika Muhyiddin berdepan tekanan politik dari dalam dan luar.

Beliau berdepan kemungkinan undi tidak percaya dengan jika gagal belanjawan negara gagal diluluskan apabila Parlimen bersidang bulan depan. 

Muhyiddin dilihat meninggalkan Istana Abdulaziz pada pukul 7.10 malam pada Jumaat, dua jam selepas tiba untuk pertemuan itu.

Sumber di Putrajaya berkata darurat hanya akan menangguhkan kegiatan politik, dengan semua aktiviti lain, termasuk perniagaan, akan dibenarkan berjalan seperti biasa.

Pada masa kini, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat untuk mengekang penyebaran Covid-19. – 24 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen