Mesyuarat Majlis Raja-Raja tangguh ke Oktober


Jurucakap Istana Negara mengesahkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang sepatutnya berlangsung minggu ini ditangguhkan ke Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

MESYUARAT Majlis Raja-Raja yang sepatutnya berlangsung minggu ini kini ditangguhkan ke Oktober, berdasarkan kalendar Pejabat Penyimpan Mohor Raja-Raja.

Mesyuarat itu sebelum ini ditetapkan pada hari ini dan esok.

Jurucakap Istana Negara juga mengesahkan kepada The Malaysian Insight, mesyuarat minggu ini sudah ditangguh.

Kalendar di laman web Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menunjukkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kini ditetapkan pada 27 dan 28 Oktober.

Mesyuarat pra-majlis pula akan diadakan pada 26 Oktober, sehari selepas perjumpaan menteri besar dan ketua menteri.

Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lepas mengadakan perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong membincangkan keadaan semasa negara.

Selepas perbincangan itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah nasihat bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membahaskan perisytiharan darurat dan ordinan darurat.

Baginda juga mahu Parlimen membincangkan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada Covid-19, yang diumum oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehari sebelumnya.

Pandangan itu disokong oleh Raja-Raja Pemerintah, yang turut menitah nasihat supaya dewan-dewan undangan negeri juga segera bersidang bagi membincangkan hal-hal berkaitan pandemik Covid-19.

Majlis Raja-Raja sebelum ini ditetapkan bersidang pada hujung Februari tetapi ditunda ke minggu ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan. – 30 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen