Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara petang ini


Alfian Z.M. Tahir

Dianggarkan 20 anggota polis berada di luar Istana Negara bagi menjaga keadaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Oktober, 2020.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Istana Negara untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi membincangkan cadangan kerajaan pengisytiharaan darurat menangani wabak Covid-19.

Mesyuarat dijangka bermula pada jam 2.30 petang.

The Malaysia Insight dimaklumkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat tiba tidak lama selepas Agong berangkat dari Istana Pahang di Pekan.

Pada 2.20 petang, beberapa Sultan dilihat berangkat masuk ke Istana Negara melalui pintu utama sebelum ditutup oleh pegawai istana.

Dianggarkan 20 anggota polis berada di luar Istana Negara bagi menjaga keadaan.

Awal hari ini, dua organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menentang usaha Muhyiddin itu telah memberikan memorandum kepada Agong.

Dua NGO itu kemudiannya meninggalkan Istana sejurus menyerahkan hajat mereka.

Pada Jumaat, selepas mesyuarat kabinet, Muhyiddin telah berjumpa Agong menyampaikan keputusan Kabinet untuk melaksanakan perintah darurat berikutan peningkatan drastik Covid-19.

Dalam masa sama Muhyiddin juga dijangka mendapat undi tidak percaya jika Parlimen bersidang untuk membentang Bajet 2021 minggu hadapan.

Para pengkritik menuduh perdana menteri cuba mengekalkan kuasa dan mengelak undi tidak percaya dengan mengadakan perintah darurat yang mana akan membuatkan Parlimen digantung. – 25 Oktober, 2020.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin dilihat melambai tangan kepada para wartawan dan jurugambar sebelum berangkat masuk melalui pintu utama Istana Negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen