Situasi tidak stabil lahir akibat kuasa penuh ahli politik, kata TMJ


Tunku Ismail berkata apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi dapat terus bergerak dengan lancar. – Gambar ihsan Facebook, 25 Oktober, 2020.

SITUASI tidak stabil apabila darurat dicadangkan, adalah akibat daripada menyerahkan kuasa pentadbiran sepenuhnya kepada ahli politik, kata Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Situasi sekarang adalah petunjuk jelas yang menunjukkan apa yang akan berlaku bila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang-orang politik sahaja.

“Di dalam situasi hari ini apa yang paling penting adalah kebajikan rakyat harus sentiasa diutamakan dan pemulihan ekonomi dapat terus bergerak dengan lancar.” katanya dalam catatan status di Facebook.

Tunku Ismail menambah bahawa pemerintahan beraja adalah penting untuk semak dan imbang pentadbiran kerajaan.

Status beliau itu muncul di ketika Majlis Raja-Raja bertemu di Istana Negara bagi memutuskan usul darurat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang menggunakan alasan memerangi peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19.

“Semoga Allah memberkati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk menjaga kestabilan negara dan melindungi negara daripada ancaman orang-orang yang tamak dan menggilakan kuasa demi kepentingan peribadi,” tambah Tunku Ismail.

Muhyiddin mencadangkan usul darurat kepada Yang Di Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mesyuarat kabinet pentadbirannya selesai.

Walau bagaimanapun, kini tiba waktunya Muhyiddin menghadapi kemungkinan undi  tidak percaya ketika Parlimen bersidang pada 2 November depan. Kerajaan beliau juga mungkin dapat dijatuhkan ketika undi Belanjawan 2021 dijalankan dalam sidang tersebut.

Pengkritik menganggap perdana menteri mahu mengelak daripada menghadapi situasi sedemikian dan mahu terus kekal berkuasa dengan perintah darurat, yang bakal menyaksikan Parlimen turut digantung.

Pakar kesihatan awam juga berkata ada panduan dan strategi perubatan bagi memerangi wabak tersebut, kerana Malaysia dianggap berpengalaman dan memiliki kejayaan melandaikan keluk Covid-19 sebelum gelombang terbaru wabak itu. – 25 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen