Raja, agama dilindungi walaupun Akta Hasutan mansuh nanti, kata timbalan menteri


Chan Kok Leong

Sekiranya perlu, kerajaan akan menggubal undang-undang baru untuk mengekalkan kesalahan hasutan berhubung raja-raja Melayu, kaum dan agama selepas Akta Hasutan dimansuhkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2019.

KESALAHAN hasutan yang ada kaitan dengan raja-raja Melayu, kaum dan agama akan dipindahkan ke bawah undang-undang lain sebelum Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Aziz Jamman.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, sekiranya perlu, kerajaan akan menggubal undang-undang baru untuk mengekalkan kesalahan hasutan berhubung tiga perkara itu.

“Kementerian berpendirian bahawa kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perlindungan institusi Diraja, kaum dan agama perlu dikekalkan dengan memindahkannya ke dalam undang-undang lain sedia ada seperti Kanun Keseksaan atau pun diwujudkan undang-undang baru sekiranya perlu,” katanya.

Langkah itu bertujuan memastikan tiada kelompongan sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, jelasnya.

Beliau juga berkata pindaan itu akan dibuat apabila kajian oleh pihak kementerian mengenai pemansuhan akta berkenaan selesai. Beliau tidak menyatakan bila kajian itu akan siap.

Azis menjawab soalan Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi-BN) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan kemungkinan hukuman lebih berat kepada mereka yang menghina atau memainkan isu agama untuk kepentingan tertentu.

Dalam pada itu, Azis berkata kerajaan akan meningkatkan program kesedaran kepada masyarakat supaya lebih peka dan sensitif terhadap sentimen perkauman, keagamaan dan institusi diraja. – 31 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen