Mesyuarat selesai, ahli Majlis Raja-Raja tinggalkan Istana Negara


Alfian Z.M. Tahir

Kenderaan di-Raja membawa Sultan Kedah, Selangor, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Perlis dan Johor dilihat keluar daripada perkarangan Istana sekitar jam 5.10 petang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Oktober, 2020.

RAJA-RAJA Melayu dilihat meninggalkan Istana Negara petang ini selepas tamat mesyuarat khas membincangkan usul Putrajaya untuk melaksanakan perintah darurat mengekang Covid-19.

Kenderaan ahli Majlis Raja-Raja membawa Sultan Kedah, Selangor, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Perlis dan Johor dilihat keluar daripada perkarangan Istana sekitar jam 5.10 petang.

Mesyuarat yang bermula jam 2.30 petang tadi dipengerusikan oleh di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Pada Jumaat, selepas mesyuarat kabinet, Muhyiddin telah berjumpa Agong menyampaikan keputusan Kabinet untuk melaksanakan perintah darurat berikutan peningkatan drastik Covid-19.

Dalam masa sama Muhyiddin juga dijangka mendapat undi tidak percaya jika Parlimen bersidang untuk membentang Bajet 2021 minggu hadapan.

Para pengkritik menuduh perdana menteri cuba mengekalkan kuasa dan mengelak undi tidak percaya dengan mengadakan perintah darurat yang mana akan membuatkan Parlimen digantung.

Awal hari ini, dua organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menentang usaha Muhyiddin itu telah memberikan memorandum kepada Agong.

Dua NGO itu kemudiannya meninggalkan Istana sejurus menyerahkan hajat mereka. – 25 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen