Mana hak minoriti dalam isu kuat kuasa lesen jual arak?


PEMAKLUMAN penguatkuasaan Peraturan 1977 bagi memperlesenkan penjualan arak di kedai-kedai kopi yang diusahakan oleh peniaga bukan Islam menimbulkan tanda tanya yang jelas.

Setelah sekian lama aktiviti penjualan arak ini dilangsungkan di kedai-kedai kopi mereka, mengapakah sekarang peraturan tersebut ingin dikuatkuasakan?

Melihat kepada situasi yang dihadapi oleh para peniaga kedai kopi, ini adalah peraturan yang perlu dinilai semula dan dirangka kembali jika perlu, memandangkan arak di kedai kopi yang dijual adalah jenis bir sahaja; lain jika dibandingkan dengan kedai khusus minuman keras yang menjual arak pelbagai jenis.

Selain itu, peraturan ini juga dilihat sebagai peraturan yang agak kuno kerana setelah berpuluh tahun lamanya peraturan ini tidak dikuatkuasakan.

Apakah tujuan utama pihak kastam ingin menguatkuasakan peraturan ini?

Jika perkara ini dilihat secara mudah, orang ramai akan bertanggapan bahawa penguatkuasaan ini hanya dilakukan untuk pihak kerajaan mengaut keuntungan atas angin dek kerana harga perlesenan yang ditetapkan juga agak tinggi.

Pasca pandemik ini, banyak peniaga kedai kopi yang sedang bergelut untuk membina semula bisnes mereka dan dengan yuran perlesenan yang tinggi ini, sudah pastinya perkara ini akan menjejaskan perniagaan mereka. 

Bagaimana pula dengan nasib peniaga kedai kopi kecil-kecilan di kawasan kampung dan di kawasan luar bandar yang terpaksa menanggung harga lesen yang tinggi ini? 

Adakalanya pendapatan harian mereka tidak mencapai ratusan ringgit.

Tambahan pula, dengan banyaknya langkah-langkah birokrasi seperti pendaftaran perlesenan ini juga, pasti akan wujud golongan yang tidak berintegriti yang menawarkan rasuah bagi mereka yang ingin memohon lesen, kononnya semua yang dilakukan ini adalah untuk memudahkan urusan perniagaan mereka.

Seterusnya, apakah keputusan ini dirujuk dan dibincangkan bersama-sama dengan pihak kerajaan negeri khususnya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak di mana ramai penduduknya adalah daripada mereka yang bukan beragama Islam? 

Penguatkuasaan peraturan ini hanya dilihat sebagai langkah untuk mengawal gaya hidup mereka yang bukan Islam. 

Sifat toleransi sesama kaum adalah sesuatu yang penting di Malaysia tetapi saban hari apa yang dilihat adalah golongan yang bukan Islam terpaksa bertoleransi secara lebih dengan keputusan pihak kerajaan yang mendadak. 

Bukankah apa yang lebih wajar dilakukan di sini adalah bagi pihak majoriti untuk bersifat terbuka dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kepelbagaian agama serta memahami perbezaan budaya golongan minoriti.

Apakah nanti juga kedai-kedai kopi bukan Islam selepas ini juga perlu memohon lesen baru untuk menjual makanan tidak halal? – 7 Disember, 2021. 

* Lim Lip Eng, ahli Parlimen Kepong.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen