ISTANA Selangor menentang cadangan Anwar Ibrahim untuk memperluaskan bantuan daripada institusi zakat kepada orang bukan Islam.
Setiausaha sulit baginda Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, baginda menegaskan bahawa kutipan zakat negeri itu hanya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf ditetapkan.
“... Sultan Selangor menegaskan bahawa mengikut agfama Islam, kutipan zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan asnaf termasuk asnaf fakir, miskin dan muallaf dari kalangan umat Islam sahaja,” katanya.
Dalam kenyataannya, Mohamad Munir berkata Sultan Selangor turut mendapat nasihat mufti bahawa zakat hanya boleh diagihkan kepada orang bukan Islam untuk mendorong pihak terbabit memeluk Islam.
“... (Agihan kepada bukan Islam) dibolehkan hanya sekira ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf mu’allafati qulubuhum.”
Golongan asnaf mu’allafati qulubuhum itu merujuk kepada individu yang diasuh untuk mendekati Islam.
Ia berdasarkan kenyataan Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid pada Jumaat lalu yang memberi contoh agihan zakat kepada keluarga bagi saudara baru.
Mohamad Munir berkata baginda menegaskan juga menegaskan agensi zakat perlu membantu orang Islam terlebih dahulu dan jabatan serta agensi lain bertangnggungjawan membantu orang miskin bukan Islam.
“Di negeri Selangor ini masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat.
“Ini kerana di negeri Selangor, majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun.
“Bagi orang-orang miskin yang bukan beragama Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan dan agensi yang ditetapkan,” kata Munir.
Baginda mengulas cadangan Anwar dalam ucapan presiden PKR itu di Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam pada Rabu lalu.
Anwar dilaporkan berkata, cadangan itu hanya pandangan peribadinya dan memerlukan perubahan ke atas fatwa serta dasar sebelum dapat dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata kutipan zakat itu berbeza dengan kutipan cukai pendapatan oleh kerajaan.
Tambahnya, Sultan Selangor juga tidak mahu isu berkenaan terus diperdebat atau digunakan untuk mengambil hati mana-mana pihak.
Selain Selangor, dua lagi mufti turut memberi pandangan berhubung cadangan itu.
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin pada Khamis dilaporkan berkata, golongan bukan muslim layak menerima zakat atas syarat yang ditentukan pemerintah.
Beliau juga mengumumkan fatwa membolehkan wang zakat diberi kepada bukan Muslim di bawah asnaf muallafah qulubuhum.
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor pula berkata agihan zakat kepada orang bukan Islam itu bergantung kepada budi bicara pemerintah berdasarkan kepentingan awam.
Beliau dilaporkan berkata, tiada masalah mengagihkannya kepada bukan Islam jika pendapatan zakat melebihi keperluan masyarakat Islam.
Fatwa yang diumumkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan sejak 2012 juga mengharuskan zakat kepada orang bukan Islam.
Menurut fatwa tersebut, ia harus dibuat berdasarkan “siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah”. – 4 November, 2019.
Komen