Kerajaan baharu tidak akan dengar suara bukan Islam, kata penganalisis


Angie Tan

Penganalisis berkata masa depan orang bukan Islam bergantung kepada berapa kuat kerjasama antara Umno dan PAS yang kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

SUARA dan isu berkaitan orang bukan Islam tidak akan menjadi kepentingan bagi kerajaan Perikatan Nasional, kata penganalisis.

Mereka memberi amaran masyarakat bukan Islam di negara ini akan berdepan masa sukar di bawah pentabiran yang didominasi Melayu-Islam.

“Sukar bagi tempoh tiga tahun akan datang (bagi orang bukan Islam),” kata Lau Zhe Wei, pensyarah Pengajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Suara orang bukan Islam dan masalah yang mereka hadapi tidak menjadi penting dalam Kabinet baharu yang mungkin dikuasai anggota Melayu-Islam,” katanya kepada The Malaysia Insight.

Pendapat Lau dipersetujui penganalisis politik bebas, Liew Wui Chern, yang berkata orang bukan Islam kini berdepan cabaran.

Beliau juga bimbang dengan adanya PAS dalam kerajaan baharu, agenda negara mungkin akan ke arah Islamisasi.

Menurut Liew, PAS berkemungkinan akan melobi supaya presidennya Abdul Hadi Awang dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Jika itu berlaku, ini akan menjadi satu cabaran besar bagi orang bukan Islam. Saya tak tahu kalau negara akan menuju ke arah Islamisasi nanti.”

Tambah beliau, ini sudah pasti bergantung kepada berapa kuatnya kerjasama antara PAS dan Umno.

Jika keduanya saling bersatu padu, kesan yang diterima orang bukan Islam sudah pasti kuat.

Penganalisis memberi amaran masyarakat bukan Islam di negara ini akan berdepan masa sukar di bawah pentabiran yang didominasi Melayu-Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

Dr Chin Chong Foh dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pula berkata, meskipun PAS dan Umno bercita-cita untuk menjadi kerajaan, mereka masih perlu melicinkan urusan pentadbiran baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Dan proses ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan, kata Chin.

“Pengundi tidak akan merasai kesannya dengan segera kerana kerajaan baharu tidak boleh menukar dasar lama dengan serta-merta selepas mengambil alih kuasa.”

Jelasnya, walaupun PAS dan Umno mendapat sokongan kuat daripada orang Melayu pada pilihan raya umum lalu, sekarang mereka perlu cuba menarik sokongan daripada masyarakat bukan Melayu.

“Saya berpendapat strategi mereka bukan menekan orang bukan Islam, sebaliknya perlu giat menarik pengundi bukan Islam atau memperkenalkan dasar yang menggembirakan golongan ini,” kata Chin.

Beliau juga menegaskan cabaran besar yang akan dihadapi kerajaan baharu adalah berkenaan kedudukan dalam Kabinet.

Chin berkata Kabinet baharu kelak akan mempunyai beberapa menteri bukan Islam tetapi tidak ramai.

“Lagipun, ini negara berbilang kaum, dan kerajaan mesti mempromosikan perpaduan. Jadi, imej seperti ini secara tidak langsung akan menarik pelaburan asing ke dalam negara.”

Perikatan Nasional terdiri daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari Bersatu, Barisan Nasional, PAS, bekas-bekas ahli Parlimen PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali, dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS). – 3 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen