Bajet 2022 abaikan bukan Melayu dan bukan Islam, kata Guan Eng


Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata di sebalik cabaran dan kemelesetan Covid-19, kerajaan terus memainkan sentimen perkauman dan agama dengan mencampuri gaya hidup orang bukan Melayu dan bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2021.

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng berkata walaupun terdiri daripada lebih 30% penduduk, bukan Melayu dan bukan Islam diperuntukkan kurang 0.1% daripada bajet RM332 bilion.

“Peruntukan yang tidak adil ini tidak dibantu oleh pendedahan skandal sebahagian besar daripada RM100 juta dana Mitra yang menguntungkan individu yang mempunyai kaitan dengan politik dengan mengorbankan masyarakat India secara amnya,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan berjuta-juta dana Mitra disalurkan kepada kumpulan yang berkaitan dengan parti politik. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah bagi membantu siasatan.

Lim berkata di sebalik cabaran dan kemelesetan Covid-19, kerajaan terus memainkan sentimen perkauman dan agama dengan mencampuri gaya hidup orang bukan Melayu dan bukan Islam. 

“Kita tidak boleh berputus asa tetapi bersatu menentang mereka dalam kerajaan yang mengejar keagamaan yang bersifat perkauman dan ekstremis.

“Mari kita menumpukan kepada asas Perlembagaan Persekutuan bahawa Malaysia adalah milik orang Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Lim bukan satu-satunya ahli Parlimen yang membuat aduan berkenaan peruntukan berat sebelah kerana Wong Chen (Subang-PH) juga menggesa kerajaan supaya lebih adil dalam peruntukannya. – 4 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen