M40 perlu ambil manfaat dari pelepasan cukai, kata ahli ekonomi


Yeoh Cheong Ee

Kenaikan pelepasan cukai bagi yuran dibayar ibu bapa hantar anak ke tadika berdaftar kepada RM2,000 berbanding RM1,000 meringankan beban golongan pertengahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2019.

GOLONGAN kelas pertengahan atau kumpulan M40 harus mengambil manfaat pelepasan cukai dan bantuan perusahaan yang ditawarkan oleh kerajaan selepas nasib mereka mendapat perhatian dalam Bajet 2020, kata ahli ekonomi.

Mereka berkata, ketika Putrajaya memberi tumpuan untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah atau kumpulan B40, nasib golongan M40 diabaikan walaupun berdepan dengan beban ekonomi sama.

Kerajaan memberi keutamaan kepada golongan B40 walaupun ia menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan kumpulan M40 dan sebab itu golongan kelas pertengahan harus memanfaatkan faedah dari pengecualian cukai dan bantuan perusahaan yang ditawarkan sebagai ganti rugi, kata ahli ekonomi.

Ahli ekonomi Soon Hoh Sing yang telah meneliti ekonomi Malaysia dan global selama bertahun-tahun memberitahu The Malaysian Insight bahawa fokus kerajaan terhadap kumpulan berpendapatan rendah diperlihatkan di seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang kaya.

“Sumber kerajaan terhad jadi secara semula jadi mereka hanya membantu mereka yang memerlukan, tidak ada cara untuk memuaskan hati semua orang dan golongan kelas pertengahan sering diabaikan.

“Sekiranya kerajaan mengamalkan cara negara-negara berpendapatan tinggi yang menjaga kebajikan semua, ini bermakna cukai akan lebih tinggi. Oleh itu sekurang-kurangnya golongan M40 perlu memujuk diri mereka sendiri walaupun tidak mendapat faedah dari belanjawan, cukai mereka masih rendah,” katanya.

Menurutnya, rakyat tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa daripada 15 juta tenaga kerja di Malaysia, hanya 2.5 juta membayar cukai dan kebanyakannya daripada kumpulan M40.

“Kenaikan pelepasan cukai individu bagi yuran dibayar untuk ibu bapa yang menghantar anak ke Taska berdaftar kepada RM2,000 berbanding RM1,000 adalah cara terbaik untuk meringankan beban golongan pertengahan,” katanya.

Subsidi minyak bukan pelan jangka panjang yang berdaya maju

Soon berkata, pengambilalihan lebuh raya utama untuk menggantikan tol dengan caj kesesakan yang lebih murah adalah lebih baik dari tiada apa-apa.

“Saya percaya dasar ini akan membantu sedikit sebanyak dan ia juga satu pencapaian untuk membuktikan kepada rakyat,” katanya.

Tetapi katanya, banyak lebuh raya berada di kawasan Selangor.

“Saya prihatin dengan nasib mereka di negeri lain terutamanya Sabah dan Sarawak yang akan merasakan ia tidak adil kerana tidak ada tumpuan khusus terhadap mereka,” katanya.

Dalam Bajet 2020, kerajaan mengumumkan pengambilalihan empat lebuh raya di Lembah Klang dengan tol digantikan dengan caj kesesakan.

Lebuhraya Utara-Selatan di bawah PLUS Bhd juga akan mendapat diskaun 18% mengikut kadar tol. 

Soon juga tidak bersetuju dengan dasar kerajaan untuk memberi subsidi bahan api mengikut kumpulan pendapatan.

Menurutnya, subsidi tidak mencukupi kerana pemilikan kereta dan kadar pengguna negara jauh lebih tinggi dari bekalan minyak.

“Malaysia hanya menghasilkan 600,000 tan minyak setiap hari, tetapi kita ada lebih 10 juta kereta di negara ini dan jumlah it uterus meningkat!

“Kerajaan tidak boleh menanggung subsidi kerana negara ini tidak akan kekal sebagai pengeluar minyak selama-lamanya, lambat laun akan menjadi pengimport penuh juga,” katanya. – 17 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen