China seru AS fahami dasar luar, domestiknya 


Anggota Biro Politik Pusat PKC Yang Jiechi berkata AS perlu memahami manfaat bersama yang boleh diperoleh menerusi hubungan kedua-dua negara.– Gambar EPA, 7 Oktober, 2021.

HUBUNGAN China-Amerika Syarikat (AS) disifatkan bukan hanya berkait rapat dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara, malah turut melibatkan masa depan seluruh dunia.

Demikian menurut Anggota Biro Politik Pusat Parti Komunis China (PKC), Yang Jiechi ketika mengadakan pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan di Zurich, Switzerland pada Rabu.

“Apabila China dan AS bekerjasama, maka kedua-dua negara serta seluruh dunia akan turut menikmati manfaatnya. Sebaliknya andai kedua-dua negara saling berkonfrontasi seluruh dunia akan terjejas teruk,” katanya yang juga Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Negara PKC.

Beliau berkata AS perlu memahami manfaat bersama yang boleh diperoleh menerusi hubungan kedua-dua negara selain memahami dasar domestik dan luar serta strategi objektif pihak China.

Pada masa sama, beliau berkata China turut menyelar beberapa pendapat yang menyifatkan hubungan China-AS sebagai “bersaing”.

Pada pertemuan itu kedua-dua pihak mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan secara menyeluruh, terbuka dan mendalam mengenai hubungan bilateral, serta isu-isu lain di peringkat antarabangsa dan rantau.

Pertemuan tersebut juga amat bermanfaat dan membantu meningkatkan persefahaman kedua-dua pihak.

Kedua-dua negara bersetuju melaksanakan tindakan pragmatik supaya interaksi strategik dipertingkat, perselisihan dikawal dengan baik, mengelak tercetusnya konflik dan mewujudkan situasi sama menang, sebagaimana yang disepakati semasa dialog pemimpin China-AS pada 10 September lepas.

Dalam perkembangan lain, Yang menegaskan China memandang serius kenyataan positif Presiden Joe Biden mengenai hubungan China-AS dan berharap AS dapat menjalankan dasar yang rasional serta pragmatik terhadap China selain menghormati kepentingan masing-masing.

Terdahulu, Biden menyatakan AS tidak berniat menyekat pembangunan China mahupun mencetuskan “Perang Dingin Baharu”.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk isu melibatkan Taiwan, Hong Kong, Xinjiang, Tibet, Laut China Selatan dan hak asasi manusia.

Sementara itu, Sullivan turut mengambil peluang menyuarakan pendirian tidak berbelah bahagi AS terhadap dasar ‘Satu China’. – Bernama, 7 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen