China, AS debat asal usul Covid-19


Pertikaian itu bermula ketika China cuba mengalihkan perhatian yang menyalahkannya akibat penularan virus itu dan cuba menggambarkan ia sebagai sebuah negara yang mengambil langkah tegas bagi membendung penularannya. – Gambar AFP, 14 Mac, 2020.

KEMPEN kerajaan China untuk menimbulkan keraguan tentang asal usul pandemik koronavirus menimbulkan ketegangan dengan Amerika Syarikat apabila pihak berkuasa Beijing mempromosikan teori konspirasi sementara Washington menggelar wabak itu sebagai “virus Wuhan”.

Pertikaian itu bermula ketika China cuba mengalihkan perhatian yang menyalahkannya akibat penularan virus itu dan cuba menggambarkan ia sebagai sebuah negara yang mengambil langkah tegas bagi membendung penularannya.

Hal tersebut dipercayai bagi menarik simpati dunia ketika ia kini menempatkan sebahagian besar penduduknya di bawah kuarantin.

Dengan kes-kes yang bermula di China dan menular ke luar negara, Beijing kini menolak dakwaan yang tersebar bahawa bandar Wuhan adalah tempat kelahiran wabak itu.

Jurucakap Kementerian Luar Negara Zhao Lijian melangkah lebih jauh pada hari Khamis, mengatakan di Twitter bahawa “mungkin tentera AS yang membawa wabak itu ke Wuhan” tanpa memberikan sebarang bukti.

Beliau kemudian mendakwa pada hari Jumaat dengan menyiarkan pautan ke artikel dari laman web teori konspirasi mengenai serangan keganasan 9/11.

Pengawalan kandungan di negara itu biasanya keras terhadap khabar angin namun membenarkan pengguna media sosial China menyebarkan dakwaan mengenai Amerika Syarikat sebagai dalang virus tersebut.

Video yang menunjukkan seorang pegawai kesihatan AS mengatakan bahawa beberapa mangsa telah didiagnosis Covid-19 selepas kematian mereka adalah carian utama di Twitter dan Weibo minggu ini, dengan beberapa pengguna mengatakan ia adalah bukti virus itu sebenarnya berasal dari AS.

Zhao turut memaparkan klip itu di akaun Twitter beliau.

Dali Yang, seorang profesor sains politik di University of Chicago, berkata beliau percaya Zhao “menulis dalam kapasiti rasminya”.

Promosi China tentang teori konspirasi itu adalah “untuk mengalihkan ketidakpuasan hati rakyat dalam negara” berhubung pengendalian wabak tersebut yang kini telah membunuh lebih dari 3,100 orang di negara ini.

Ditanya apakah Zhao mewakili pandangan kerajaan, jurucakap Kementerian Luar negara Geng Shuang memberitahu pemberita pada hari Jumaat bahawa “masyarakat antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat, mempunyai pandangan berbeza mengenai sumber virus tersebut”.

“China sejak dari mula menganggap ini adalah isu saintifik, dan kita perlu mendengar nasihat saintifik dan profesional,” kata Geng. – AFP, 14 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen