China lakukan jenayah kemanusiaan terhadap Uighur, kata laporan AS


Senator Chris Smith berkata laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan saksi dari etnik Uighur yang mendakwa mereka menjadi sasaran kerana berpegang kepada Islam. – Gambar AFP, 9 Januari, 2020.

KALANGAN senator Amerika Syarikat (AS) menggesa pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengenakan sekatan terhadap China ekoran isu pencabulan hak yang berlaku terhadap etnik Uighur.

Dalam satu laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Eksekutif-Kongres terhadap China, senator AS menyifatkan kekejaman yang dilakukan Beijing terhadap etnik Uighur sebagai satu jenayah kemanusiaan.

Laporan itu juga membangkitkan kebimbangan terhadap tindakan China mewujudkan kem tahanan bagi menahan lebih sejuta penduduk Uighur dan penduduk Islam lain di wilayah Xinjiang.

“Suruhanjaya ini percaya pihak berkuasa China mungkin telah melakukan jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Uighur dan penduduk Islam etnik Turki yang lain,” kata laporan itu.

Ahli suruhanjaya itu, Senator Chris Smith berkata laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan saksi dari etnik Uighur yang mendakwa mereka menjadi sasaran kerana berpegang kepada Islam.

“Kita bercakap tentang jenayah kemanusiaan dalam skala yang besar,” kata Smith.

Kementerian Luar China bagaimanapun menafikan laporan suruhanjaya itu dan menuduh wakil rakyat AS cuba mewujudkan tuduhan palsu terhadap Beijing.

Senator AS berkata amat penting untuk pentadbiran Trump melaksanakan undang-undang hak asasi Uighur seperti akta berasingan untuk Hong Kong.

Kongres pada tahun lalu hampir sebulat suara untuk meluluskan akta yang memberi keutamaan kepada AS dalam status perdagangan untuk Hong Kong bagi memastikan China tidak menjejaskan status wilayah semiautonominya.

Trump menandatangani akta itu kerana mahu melihat bagaimana itu mampu menekan China dalam perang dagang antara kedua-dua negara.

Aktivis dan etnik Uighur berkata China memaksa mereka dan kumpulan etnik untuk berintegrasi.

Namun Beijing mendakwa mereka hanya menjalani latihan vokasional dalam usaha untuk tidak menggalakkan ekstremisme. – AFP,  9 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen