AMARAN bahawa perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China mungkin bertambah teruk, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan negara Asean yang berjiran, untuk membina dayang saing bagi menampung kesan yang berlaku.
Dr Mahathir berkata ia amat perlu kerana ada isyarat menunjukkan ketegangan perdagangan antara dua gergasi ekonomi itu bakal bertukar menjadi semakin buruk.
Bercakap pada persidangan “Malaysia Beyond 2020”, Dr Mahathir berkata perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu mungkin menjejaskan sistem perdagangan dunia, dan sekatan terhadap perdagangan bebas menjadi “normal”.
“Perniagaan perlu dirancang dengan lancar dan gangguan dapat dielakkan. Tetapi tarif, tarif balas dan halangan lain untuk perdagangan bebas kini menjadi ‘normal yang baharu’,” katanya.
Perdana menteri berkata Malaysia malang apabila terperangkap di tengah-tengah pergaduhan perdagangan itu, kerana ekonominya berkait dengan kedua-dua pasaran dan juga sebab geografi.
“Malah ada yang mengatakan kita akan menjadi sasaran sekatan,” katanya.
“Perang dagangan AS-China mungkin simptom kepada sesuatu yang lebih teruk – persaingan yang semakin berkembang antara dua kuasa besar dunia, berkembang menjadi satu lagi perang dingin.”
Dr Mahathir berkata negara ini hanya dapat berharap yang terbaik dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan, dengan bekerjasama dengan negara jiran Asian, untuk menampung kesan pergeseran kuasa besar.
“Kita perlu memperkasakan kerjasama. Ini bermakna membina kapasiti untuk membangunkan daya saing,” katanya.
Beliau berkata amat penting untuk membangunkan syarikat berkelas dunia untuk menyahut daya saing itu. – 21 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen