China berhenti sebar teori konspirasi Covid-19, kata AS


Covid-19 mula meledak di Wuhan, China pada hujung tahun lepas kini sudah menjangkiti lebih setengah juta orang di seluruh dunia. – Gambar EPA, 28 Mac, 2020.

CHINA menghentikan usaha penyebaran teori konspirasi dalam talian di negara maju mendakwa AS terlibat dalam wabak Covid-19 selepas mendapati kesannya terbatas, kata seorang pegawai AS semalam.

Pusat Perhubungan Dunia Jabatan Negara AS, yang bertanggungjawab menganalisis dan memerangi propaganda asing, berkata China sebaliknya mengubah arah kempen kepada kejayaannya mengawal wabak dan memberikan bantuan kepada negara asing.

“Kami menilai mesej rasmi PRC di Afrika yang menunjukkan mereka mungkin mengabaikan kempen salah maklumat mendakwa Covid-19 berasal dari AS,” kata penyelaras pusat itu Lea Gabrielle.

“Kami juga menemui corak mesej sama di kawasan lain di bahagian negara barat,” katanya kepada wartawan.

Katanya, analisis terhadap catatan media sosial milik kerajaan China pada 13 hingga 15 Mac menunjukkan “kebanyakan reaksi negatif” di Afrika terhadap teori konspirasi.

Awal bulan ini jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, mencadangkan di Twitter yang tentera AS membawa masuk koronavirus baharu ke Wuhan, tempat bermulanya wabak pada hujung tahun lepas.

Jabatan Negara AS menyifatkan teori konspirasi itu “mengarut” dan memanggil duta China.

Presiden Donald Trump kemudiannya menggunakan kejadian itu untuk menggunakan terma “virus China” yang kini sudah menjangkiti lebih setengah juta orang di seluruh dunia.

Gabrielle juga berkata China menggunakan media sosial untuk menuduh Trump bersikap rasis dalam penggunaan terma itu.

China mengalu-alukan perbincangan tentang wabak itu dengan hampir 60% catatan media sosial rasminya di Afrika pada pertengahan Mac, walaupun tiada perbincangan langsung mengenainya pada awal Januari, katanya.

China juga melancarkan “usaha bersasar” membina pengaruh media sosial untuk “menyakinkan orang awam yang mereka bertanggungjawab dalam memberikan bantuan dalam wabak itu,” kata Gabrielle lagi.

Katanya, Rusia juga terus menjadi kebimbangan utama.

Dalam penilaian dikeluarkan bulan lepas kepada AFP, pusat itu berkata ribuan akaun media sosial dikaitkan dengan Rusia menjalankan kempen tersusun untuk memperlekeh naratif rasmi kerajaan termasuk mendakwa AS terlibat dalam pelbagai kejadian.

“Kita masih menyaksikan usaha berterusan Kremlin untuk menyebarkan maklumat salah,” kata Gabrielle. – AFP, 28 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen