AS sekat produk keluaran ‘buruh paksa’ Uighur


Minoriti Islam di Xinjiang berdepan penindasan China, dihantar ke kem paksaan dan menjadi buruh paksa. – Gambar EPA, 15 September, 2020.

AS semalam mengumumkan ia akan menyekat produk China dibuat “buruh paksa” di Xinjiang, termasuk dari pusat “vokasional” yang dianggar sebagai “kem paksaan” untuk etnik Uighur.

“Kerajaan China terlibat dalam penderaan sistematik terhadap orang Uighur,” dan minoriti lain, kata Mark Mogan, pemangku pesuruhjaya agensi Perlindungan Sempadan.

“Buruh paksa adalah kekejaman pencabulan hak asasi manusia,” katanya.

Barangan tersebut termasuklah kapas, pakaian, produk rambut dan elektronik daripada lima pengilang di Xinjiang serta wilayah bersempadan dengannya, Anhui.

Ia juga melibatkan semua produk berkaitan dengan Pusat Latihan dan Pendidikan Kemahiran Vokasional No 4 Wilayah Lop di Xinjiang, yang menurut Pemangku Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Ken Cuccinelli sebagai pusat buruh paksa.

“Ini bukan pusat vokasional, ia kem paksaan, tempat di mana minoriti etnik dan agama jadi subjek penderaan dan dipaksa bekerja dalam persekitaran daif tanpa sumber dan tanpa kebebasan,” kata Cuccinelli kepada wartawan.

“Ini adalah perhambaan moden.”

Tindakan diumumkan itu melibatkan “arahan sekatan pelepasan” atau WRO yang membolehkan agensi sempadan merampas produk keluaran syarikat atau organisasi yang disenarai hitam.

Kerajaan AS semakin kerap menggunakan arahan seperti itu untuk memberi tekanan kepada Beijing berkaitan dengan pusat tahanan itu yang menempatkan lebih sejuta orang kebanyakannya minoriti Islam Uighur di Xinjiang yang didakwa China sebagai “pendidikan semula”.

Pada Julai, agensi kastam meletakkan sekatan WRO ke atas produk rambut yang digunakan untuk rambut palsu daripada beberapa syarikat beroperasi di Xinjiang dan pada Ogos melakukan tindakan sama untuk pakaian dibuat dan dijual Kumpulan Hero Vast.

“Kerajaan China perlu menutup kem paksaannya,” kata Cuccinelli.

Tindakan itu dibuat ketika kumpulan hak dan ahli Kongres AS mendesak pentadbiran Presiden Donald Trump mengambil tindakan lebih tegas ke atas tuduhan penindasan dibuat China kepada komuniti Islam negara itu.

Pada Julai, Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas kumpulan separa tentera utama China, Xinjiang Production dan Construction Corps, menuduhnya menindas Uighur dan kumpulan minoriti Islam lain.

Ia juga mengenakan sekatan terhadap beberapa pihak lagi termasuk Chen Quanguo, ketua Parti Komunis China untuk wilayah Xinjiang dan penggubal utama dasar penindasan minoriti Beijing.

“Pentadbiran Trump mengetuai dunia untuk memberi perhatian kepada pencabulan kejam hak asasi Parti Komunis China di Xinjiang dan kami bertindak menyokong retorik kami,” kata Setiausaha Negara Mike Pompeo dalam satu kenyataan.

Pegawai CPB berkata mereka sedang mengkaji langkah sekatan menyeluruh ke atas semua produk kapas dan tomato dari Xinjiang.

Pada Ogos, Perikatan Pelabur Hak Asasi mendesak sekatan ke atas semua barangan kapas dikaitkan dengan Xinjiang, yang membekalkan sebahagian besar produk kapas China. – AFP, 15 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen