PKR Perak desak polis siasat menyeluruh kes bunuh pengawal keselamatan


Alfian Z.M. Tahir

Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berharap orang ramai menghormati proses undang-undang dan memberi masa kepada pihak berkuasa menyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2021.

KES seorang pengawal keselamatan yang diserang secara kejam tidak sepatutnya berkisar dengan penglibatan ahli parti politik tetapi lebih kepada kesihatan mental secara keseluruhannya yang boleh mendorong seseorang bertindak tidak rasional, kata Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini.

Ketika menggesa polis menyiasat kes tersebut secara menyeluruh, Farhash berkata tindakan ganas itu harus dikutuk, tetapi pada masa yang sama, orang ramai harus menghormati proses undang-undang dan memberi masa kepada pihak berkuasa menyiasat.

Beliau mendesak orang ramai tetap bersatu walaupun negara menghadapi banyak cabaran dan saling membantu dengan segala cara yang mungkin.

“Takziah kepada keluarga mendiang dan diharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan gesaan agar siasatan menyeluruh diadakan semula demi keadilan,” kata Farhash.

“Video serangan yang semakin tular semula tidak harus dikongsi bagi melindungi aib mendiang dan menghormati perasaan keluarga mendiang.”

Pengawal keselamatan, Thava Sagayam, 64, diserang dengan sebuah meja ketika bertugas di sebuah kondominium di Ipoh, Perak pada 29 Disember.

Tertuduh, Noor Azhar Muhammad, yang dilaporkan adalah ahli Pemuda Bersatu Kota Bharu, sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Beliau kini diikat jamin sementara menunggu pengadilan lain di mahkamah majistret di Ipoh pada 6 September.

Polis Perak semalam mengklasifikasikan semula kes itu sebagai pembunuhan selepas Thava meninggal dunia di rumahnya di Ipoh pada 27 Ogos.

Dilaporkan Thava diserang selepas enggan membenarkan anak Noor Azhar menggunakan kolam renang yang ditutup.

Thava dimasukkan ke hospital selepas serangan itu dan menjalani lapan pembedahan di kepala sebelum menderita akibat jangkitan paru-paru. – 31 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen