Faizal Azumu tidak layak jadi MB, kata PKR Perak


Farhash berkata, mandat rakyat kepada Pakatan Harapan adalah mandat yang dikongsi bersama dan tidak harus dipertikaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2019.

AHMAD Faizal Azumu tidak layak jadi Menteri Besar Perak, kata ketua PKR negeri, selepas tular rakaman video menunjukkan pemimpin Bersatu itu mengutuk DAP, yang juga rakan komponen dalam Pakatan Harapan.

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata kenyataan Faizal yang menyifatkan DAP seperti musuh bukan saja tidak wajar tetapi memalukan.

“Jika (Faizal) menganggap DAP sebagai musuh dalam kerajaan negeri Perak, beliau tidak layak menjadi seorang menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhash yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, mandat rakyat kepada Pakatan Harapan adalah mandat yang dikongsi bersama dan tidak harus dipertikaikan.

“Malah sudah menjadi tugas beliau untuk meyakinkan rakyat akan ketelusan pakatan ini. 

“Mengapa masih mahu mengamalkan politik bersifat perkauman yang jijik di dalam Malaysia Baharu?,” tanyanya.

Dalam rakaman video yang tular hari ini, Faizal mendakwa beliau berseorang diri cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

 “Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.

 Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam reaksi segera menyifatkan kenyataan Faizal adalah  pandangan yang dibuat berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak mencerminkan sikap Pakatan Harapan.

Faizal dalam pada itu menafikan ada perselisihan antara beliau dengan DAP di Perak. Beliau juga mendakwa kenyataannya semasa dilihat berbual dengan pengundi di Tanjung Piai “diambil di luar konteks”.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Faizal adalah satu-satunya wakil rakyat Bersatu dalam kerajaan PH Perak, dengan DAP menguasai 18 kerusi, Amanah 6 dan PKR 4. Dua wakil rakyat Umno kemudian jadi wakil rakyat Bebas menyokong PH, sebelum seorang daripadanya menyertai Bersatu.

PKR Perak sebelum ini dilihat berkrisis dengan pentadbiran Faizal apabila mendesak beliau menggantikan exco yang mewakili parti itu, awal tahun ini.

Dua daripada empat wakil rakyat PKR dilantik membarisi exco pentadbiran Faizal iaitu Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Faizal juga pernah dilaporkan berdepan masalah dengan barisan exconya sehingga mencetuskan desas-desus ada gerakan mahu menjatuhkan beliau melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

Faizal, bekas ketua Pemuda Umno Ipoh Barat, dikatakan dikelilingi oleh kawan-kawannya dari Umno.

Farhash dalam kenyataannya turut membangkitkan isu itu dan menuduh menteri besar itu bersikap ‘munafik’ kerana mengutamakan hubungan dengan ahli Umno.

“Setelah melihat video tular di mana (Faizal) dengan berseloroh menghina jemaah menteri kerajaan PH dan menabur fitnah kepada DAP demi memancing undi, membuktikan beliau tidak layak menjadi menteri besar,” kata Farhash.

Beliau menggesa Faizal bermuhasabah dan meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia sebelum tindakannya memberikan kesan kepada calon PH yang bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai. – 8 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen