Asal usul gosip komplot jatuhkan MB Perak


SM Amin

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu didakwa tidak banyak membantu menghidupkan 24 bahagian parti di seluruh negeri dan berdepan masalah sokongan dalam parti sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

TINDAKAN Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu melantik “orang Umno” sebagai antara pegawainya dikatakan punca pergeseran dalam Pakatan Harapan (PH) Perak sehingga timbul desas-desus exco kerajaan pimpinannya sendiri sedang cuba menjatuhkan beliau, kata beberapa sumber.

Selepas menang kerusi Parlimen Tambun dan kerusi negeri Chenderiang, Faizal mula dihimpit oleh rakan-rakannya daripada Umno dan mereka itu kemudiannya mendapat banyak manfaat selepas beliau menjadi menteri besar.

Sebelum menjadi pengerusi Bersatu Perak dan seterusnya pengerusi PH negeri, Faizal adalah ketua Pemuda Umno Ipoh Barat.

“Majoriti pegawai-pegawai MB ini bekas orang Umno. Malah ada yang masih lagi ahli Umno.

“Jadi kita yang merupakan pejuang-pejuang awal Bersatu di Perak, yang menjadi jentera berkempen untuk dia selama ini seolah-olah tidak dipandang.

“Kita kecewalah bila jadi macam ini,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Faizal sebelum ini melantik wakil rakyat Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, sebagai penasihatnya bertaraf exco. Zainol adalah bekas ketua Pemuda Umno Perak dan bekas exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang lalu.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, Bersatu yang bertanding 15 kerusi negeri hanya menang satu kerusi.

Faizal, wakil tunggal Bersatu, dilantik sebagai menteri besar selepas Zainol dan seorang lagi Adun BN ketika itu, Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyokong PH dan dipecat daripada Umno. Nolee yang juga adik ipar Faizal kini wakil rakyat bebas.

Goyang

Sementara itu, seorang lagi sumber mendedahkan Bersatu Perak kini goyah kerana Faizal didakwa tidak banyak membantu menghidupkan 24 bahagian parti di seluruh negeri. Faizal juga berdepan masalah sokongan dalam parti sendiri, tambahnya.

“Daripada 24 bahagian Bersatu di Perak, hanya 20 yang layak bersidang. Daripada 20 bahagian itu, tidak sampai separuh yang menyokong Faizal kerana sebab tadi… mereka kecewa,” kata sumber.

Menurut seorang lagi sumber, selain isu-isu melibatkan politik dalaman, Faizal juga dikatakan tidak sehaluan dengan exco-exco kerajaan negeri. Banyak cadangan mereka ditolak, termasuk soal bantuan untuk pemaju serta pelantikan ketua kampung.

“Ini bukan soal (hak milik) tanah seperti yang kecoh sebelum ini, banyak perkara lain lagi yang Faizal tolak.

“Tetapi pada masa yang sama orang Umno selesa di Perak, masih mendapat bantuan daripada Faizal,” kata sumber.

Pertikaian pengerusi negeri

Pergeseran dalam PH Perak sudah bermula sejak pertikaian isu pelantikan pengerusi negeri beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Amanah ketika itu dilaporkan rasa lebih wajar diberi tanggungjawab tersebut kerana pemimpinnya lebih berpengaruh dan partinya lebih kukuh.

Antara empat parti dalam PH, Bersatu paling lemah di Perak, kata sumber. Beliau juga mendakwa ramai ahli Bersatu keluar parti menyertai Amanah, yang lebih aktif.

“Ada yang mula rasa kalau tukar MB, beri kepada Amanah pun tidak apa,” kata sumber yang merupakan antara pejuang awal Bersatu di Perak.

Sejak seminggu lalu, pergeseran dalam PH Perak semakin terdedah selepas Ketua Umno Perak, Saarani Mohamed mendakwa ada exco kerajaan negeri memujuk wakil rakyat BN menyokong usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beberapa pemimpin PH membidas kenyataan Saarani. Adun Kota Tampan itu bagaimanapun bertegas sedia mendedahkan nama exco yang mahu menjatuhkan menteri besar itu sekiranya didesak.

Beliau mendakwa exco berkenaan tiga kali bertemu Adun Umno meminta sokongan pada 2, 15 dan 22 November lalu.

Exco kerajaan negeri, Asmuni Awi yang juga pengerusi Amanah Perak sebaliknya mendedahkan pernah ditawarkan jawatan menteri besar oleh Umno pada 1 November lalu sekiranya keluar PH untuk membentuk kerajaan bersama Adun PAS dan Bersatu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bagaimanapun yakin desas-desus mahu menggantikan menteri besar itu betul, berdasar kenyataan pemimpin PH dan Umno, termasuk bekas menteri besar Zambry Abdul Kadir.

Kelmarin, Setiausaha PH Perak, V Sivakumar juga daripada DAP, membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur meminta semua dakwaan itu disiasat agar episod menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang di Perak.

Mengikut undang-undang, yang dipertegaskan oleh mahkamah dalam isu jawatan ketua menteri Sabah baru-baru ini, undi tidak percaya terhadap seorang menteri besar tidak semestinya berlaku di Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Umno tegas tidak akan memihak dengan mana-mana parti dalam PH sebaliknya sedia menghadapi pilihan raya baru.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan jika ada pilihan raya semula, Umno akan bekerjasama dengan PAS untuk memastikan pertandingan satu lawan satu.

“Jika ditakdirkan ada pilihan raya negeri, kesefahaman dan adunan (dengan PAS) ini diterjemahkan dengan baik… tidak ada tiga penjuru insya-Allah kita boleh merampas kembali negeri Ini,” katanya Ahad lalu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dalam sidang medianya kelmarin, ketika diminta mengulas desas-desus politik di Perak, berkata: “Setahu saya Faizal masih MB Perak.” – 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen