Pilihan ketua Pakatan negeri jadi isu tetapi tidak jejas matlamat ke Putrajaya


Zulkifli Sulong

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari mengakui wujudnya rasa tidak puas hati tetapi semua parti dalam Pakatan berusaha mengetepikan rasa itu demi merampas Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 September, 2017.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) di sekurang-kurangnya lima negeri tidak berpuas hati dengan ketua-ketua negeri yang dipilih oleh pucuk pimpinan gabungan pembangkang itu, namun sedia mengetepikan sebarang perbezaan pandangan demi matlamat lebih besar menawan Putrajaya.

Lima negeri itu ialah Melaka, Perak, Terengganu, Kedah malah Kelantan, kata beberapa pemimpin negeri PH kepada The Malaysian Insight. 

“Saya mengajak semua rakan-rakan saya berjiwa besar menerima keputusan pimpinan pusat kita ini.

“Mari kita lihat gambaran yang lebih besar iaitu untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Shamsul Iskandar Md Akin, naib presiden PKR yang juga pengerusi PKR Melaka.

Kata Shamsul, bohonglah jika beliau tidak terasa hati dengan pelantikan pimpinan PH di negeri-negeri khasnya di negeri beliau, Melaka

“Namun kita mesti berjiwa besar,” kata ahli parlimen Bukit Katil itu kepada The Malaysian Insight.

Shamsul adalah pemimpin kanan PH di Melaka tetapi disebabkan negeri itu diserahkan kepada Amanah, maka pemimpin Amanah dipilih sebagai pengerusi PH negeri.

Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari mengetuai PH Melaka.

Di Perak, PH diketuai oleh Pengerusi Bersatu Negeri, Faizal Azumu adalah pemimpin muda yang belum dikenali, berbanding pemimpin Amanah yang juga bekas Menteri Besar Perak, Mohamed Nizar Jamaludin atau Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof.

PKR juga ada pemimpin kanan pusat di Perak iaitu Mohamad Nor Manuty, yang juga pengerusi PKR negeri.

Di Terengganu, PKR berharap PH diketuai oleh Pengerusi PKR Negeri, Azan Ismail. Namun negeri itu diserahkan kepada Amanah maka Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Bahrin Shah dipilih sebagai pengerusi PH negeri.

Di Kelantan, pelantikan Husam Musa sebagai pengerusi PH Kelantan sepatutnya diumumkan ketika lawatan Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad ke negeri itu 25 Ogos lalu, namun ditangguhkan sehingga pengumuman rasmi oleh Majlis Presiden PH lima hari kemudian.

Di Kedah, PKR mahu Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dilantik menjadi pengerusi PH Kedah. Namun selepas mendapat sokongan tiga parti yang lain iaitu Bersatu, Amanah dan DAP, bekas Menteri Besar Kedah yang kini Pengerusi Bersatu negeri, Mukhriz Mahathir dinamakan untuk mengetuai PH di negeri itu.

Matlamat lebih besar

Mengulas senario itu, Shamsul mengajak semua pihak berjiwa besar dan melihat gambar yang lebih besar, dan bukan lagi kepentingan masing-masing sahaja.

“Kita mahu menang pilihan raya akan datang. Jadi, semua titik bengik ini kita perlu ketepikan,” kata Shamsul.

Menurutnya lagi, struktur PH Melaka kini sudah selesai dengan beliau sendiri dilantik sebagai ketua penerangan negeri.

Bagi pengerusi PH Melaka yang baru dilantik, Adly Zahari, jika parti-parti dalam PH dapat meyakinkan rakyat Melaka mereka bersatu dan bermuafakat, rakyat akan memberi sokongan kepada PH dan Melaka boleh jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) nanti.

“Yang menarik tentang rakyat Melaka ini, mereka tidak akan perjudikan nasib masa depan mereka kepada kerajaan yang mempunyai pakatan yang longgar,” kata pengerusi Amanah Melaka itu.

Pakatan Harapan yang diketuai negarawan, Dr Mahathir Mohamad kini berdepan cabaran paling getir untuk meyakinkan rakyat kekukuhan perpaduan parti pembangkang untuk merampas pentadbiran negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2017.

Sokong penuh

Sementara itu, Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew yang menyokong penuh pelantikan Adly berkata, peralihan sokongan 15% pengundi Melayu di Melaka kepada PH akan membolehkan gabungan baru itu mentadbir Melaka selepas PRU 14 nanti.

Bagi beliau, selain faktor perpaduan antara parti dalam PH, faktor kepimpinan Dr Mahathir Mohamad adalah alasan utama yang akan mengalihkan undi orang Melayu untuk menyokong PH di negeri Hang Tuah itu.

“Faktor Mahathir, kenaikan kos sara hidup, 1MDB hatta faktor Rosmah Mansor (isteri perdana menteri) juga boleh menyebabkan orang Melaka sokong PH,” kata Tey kepada The Malaysian Insight.

Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Redhuan pula setuju bahawa semua parti dalam PH mempunyai kekuatan masing-masing.

Yang penting, katanya, adalah penyatuan antara mereka sebagaimana Umno berjaya membina penyatuan antara ahli Barisan Nasional.

“Yang penting untuk menang, Bersatu, Amanah dan PKR kena kuatkan parti masing-masing manakala DAP kekalkan kekuatannya yang ada.

“Jika itu boleh dilakukan, dengan tonjolkan dominasi Melayu Islam, saya penuh yakin PH akan menang dalam PRU nanti,” katanya. 

Pemilihan Adly

Sementara itu, Adly mengaku pemilihannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan PH negeri namun menyifatkannya sebagai keyakinan pucuk pimpinan kepada dirinya.

“Melaka sebuah negeri yang berpotensi dengan struktur Amanah yang agak stabil dan berfungsi dengan baik.

“40% ahli dan pimpinan PAS di Melaka sudah menyertai Amanah dan 30% lagi menyokong. Hanya tinggal 30% sahaja ahli PAS yang kekal dalam parti itu,” kata bekas pesuruhjaya PAS Melaka itu.

Bagi menunjukkkan kesepakatan antara mereka, Adly berkata, pembahagian kerusi di negeri itu akan dibuat hampir sama bagi setiap parti.

Dalam PRU13 lalu, PAS paling banyak mendapat kerusi iaitu 13 kerusi negeri dan satu Parlimen, PKR tujuh kerusi negeri dan satu Parlimen manakala DAP lapan kerusi negeri dan dua Parlimen.

“Melaka mempunyai enam Parlimen dan 28 kerusi negeri. Kita akan bahagi hampir sama banyak antara ke empat-empat parti dalam pilihan raya kali ini,” kata Adly.

Rakyat menunggu tawaran PH kepada mereka, di Melaka janji pembangkang termasuklah menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik kepada rakyat biasa yang selama ini seringkali dipinggirkan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2017.

Tawaran PH

Adly turut menggariskan empat tawaran utama PH kepada rakyat Melaka dalam PRU14 ini termasuk antaranya meningkatkan pendapatan negeri dengan cara menutup ketirisan yang amat ketara dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

“Dengan cara ini kita akan dapat menambahkan bantuan untuk rakyat yang memerlukan,” katanya.

PH juga katanya akan memberi tumpuan kepada isu rumah untuk rakyat kerana kerajaan Melaka sekarang terlalu memberikan tumpuan kepada projek perumahan untuk golongan atasan yang berharga tinggi.

“Kami akan memberikan fokus kepada perumahan kos sederhana dan rumah mesra rakyat,” kata Adly.

Selebihnya, PH akan memberi fokus untuk melahirkan peluang pekerjaan khasnya bagi golongan muda termasuk dengan mengembangkan industri pelancongan di Melaka ke luar bandar pula.

“Selama ini industri pelancongan hanya memberikan manafaat kepada kawasan bandar sahaja dan orang luar bandar tidak mendapat manafaat darinya.

“Jadi kita akan hasilkan produk-produk pelancongan untuk memberikan manafaat kepada golongan desa,” katanya. – 19 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen