Setiausaha politik Anwar saman Yusoff Rawther


Pemimpin PKR Farhash Wafa Savador Rizal turut memohon perintah injuksi untuk menghalang bekas pembantu kajian Anwar, Mohammed Yusoff Rawther mengeluarkan atau terus menyiarkan kenyataan itu terhadapnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

PEMIMPIN PKR Farhash Wafa Savador Rizal memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther kerana menuduhnya seorang yang ganas dan kaki pukul, lapor Malaysiakini.

Beliau yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pengerusi PKR Perak memfailkan saman itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Farhash mendakwa Yusoff yang juga bekas pembantu kajian Anwar, memfitnahnya dalam satu sidang media pada 4 Disember lalu.

Pada sidang media berkenaan, Yusoff bukan sahaja mendakwa diserang secara seksual oleh Anwar, malah turut mendakwa polis gagal mengambil tindakan terhadap laporan beliau diserang oleh Farhash di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada Mei tahun lalu.

Kes serangan seksual itu bagaimanapun digugurkan oleh Pejabat Peguam Negara kerana kekurangan bukti.

Sementara itu, Farhash dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Yusoff mengeluarkan kenyataan fitnah itu dengan pengetahuan ia akan dilaporkan media tempatan serta rakman video berkenaan dimuat naik di Facebook dan platform media sosial lain.

Menurut Farhash, kata-kata Yusoff menggambarkan beliau seorang yang ganas, liar dan kaki pukul bertujuan mencemarkan imej dan reputasinya.

Farhash juga berkata, peguamnya telah menghantar surat tuntutan guaman supaya Yusoff menarik balik kata-kata itu dan memohon maaf.

Tambahnya, Yusoff bagaimanapun menafikan dakwaan dalam surat tuntutan itu dan enggan memenuhi tuntutan berkenaan.

Selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos, Farhash turut memohon perintah injuksi untuk menghalang Yusoff mengeluarkan atau terus menyiarkan kenyataan itu terhadapnya.

Menurut Malaysiakini, pengurusan kes ditetapkan pukul 9 pagi esok. – 27 Januari, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen