DAP jangan mudah lupa daratan, kata pemimpin PKR


Pemuda PKR Selangor, Najwan Halimi berkata Pemuda DAP patut fokus terhadap usaha merampas semula Putrajaya dan tidak mengeluarkan kenyataan mencelarukan komunikasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2020.

DUA pemimpin muda PKR tampil mempertahankan presiden mereka Anwar Ibrahim yang dikritik sekutu daripada DAP kerana mengarahkan pembangkang meluluskan Belanjawan 2021 peringkat dasar.

Ia menjawab kenyataan Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat yang mendesak parti itu berpisah daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya Anwar enggan meminta maaf atas tindakan itu.

Ketua Pemuda PKR Selangor Najwan Halimi dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menganggap kenyataan itu keterlaluan, biadab dan membuli Anwar.

Najwan dalam kenyataan berasingan berkata, Pemuda DAP sepatutnya memfokuskan ke atas usaha merampas semula Putrajaya dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mencelarukan komunikasi.

Katanya, DAP juga perlu memberi kepercayaan penuh kepada Anwar yang cuba menyusun semula organisasi selepas PH tidak lagi menguasai Putrajaya, dan tidak mudah lupa daratan.

Beliau juga mengingatkan, Anwar tidak memegang jawatan Kabinet sewaktu PH dijatuhkan, maka tidak patut dibebankan dengan kesalahan tersebut

“Justeru, saya menyeru agar Pemuda DAP dan setiausaha tidak cepat lupa daratan dengan membuat kenyataan bukan-bukan sebelum merujuk pemimpin tertinggi partinya sendiri,” kata Najwan.

Farhash dengan pandangan serupa menggesa Teh agar lebih berhemah dan bersabar kerana gesaan seperti itu hanya akan mengundang perpecahan.

“Jangan biadab sangat… Belanjawan 2021 masih belum diluluskan dan usaha pembangkang belum dipatahkan lagi.

“Kita hanya mengambil langkah jangka masa panjang dan berharap rakyat memahami serta bersabar buat masa ini,” katanya yang meminta DAP terus bersama PH dan Anwar. 

Teh semalam menggesa partinya mempertimbangkang untuk berpisah dengan PKR sekiranya Anwar enggan meminta maaf atas tindakan tersebut yang dianggapnya sebagai “kesilapan”.

Arahan Anwar itu juga tidak konsisten dengan sikap pembangkang selama ini yang mahu undian ke atas belanjawan itu menjadi undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, katanya.

Anwar memberi arahan pada minit terakhir untuk blok pembangkang membiarkan Belanjawan 2021 lulus semasa undian di peringkat dasar di Dewan Rakyat, kelmarin.

Ia dilaporkan bertentangan dengan keputusan Majlis Presiden PH pada Selasa – hanya dua hari sebelumnya – untuk sepakat menolak Belanjawan 2021 secara undi belah bahagi.

Usul untuk undian belah bahagi bagaimanapun ditolak selepas hanya 13 ahli Parlimen yang menyokong dan tidak memenuhi syarat sekurang-kurangnya 15 sokongan.

Mereka yang menyokong ialah empat ahli parlimen bebas dari Parti Pejuang Tanah Air diketuai Dr Mahathir, enam dari Amanah dan masing-masing seorang dari DAP, PKR, dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).– 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen