Anwar ketepi kepentingan politik jumpa PM, kata setiausaha politiknya


Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata pertemuan Presiden PKR dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi berbincang usaha tangani penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2020.

ANWAR Ibrahim mengetepikan kepentingan politik apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk berbincang mengenai usaha menangani penularan Covid-19, kata setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Katanya, pertemuan itu tidak sama dengan tindakan pemimpin PKR yang bertemu dengan bekas pemimpin parti itu yang mengkhianati PKR.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Wanita PKR Haniza Talha yang mempersoalkan tindakan penggantungan jawatannya atas alasan bertemu dengan Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

“Agak naif bagi Haniza untuk membandingkan serta mempersoal pertemuan presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kapasiti beliau sebagai ketua pembangkang.

“Anwar telah diajak oleh perdana menteri kita untuk memberi pandangan dalam langkah-langkah menangani wabak Covid-19 di samping menyentuh beberapa isu berkenaan kepentingan masa depan negara.

“Rakyat Malaysia masih bimbang akan masa depan mereka dan presiden kita telah mengenepikan perbezaan politik dalam waktu getir. 

“Ini soal masa depan negara dan bukannya kepentingan politik diri,” kata Farhash dalam satu komen di Facebook.

Anwar dijangka memberikan penjelasan kepada umum mengenai pertemuannya dengan Muhyiddin petang ini.

Semalam, Haniza mendedahkan beliau digantung keahlian sementara disiasat oleh lembaga disiplin parti kerana mengadakan pertemuan dengan Azmin dan Zuraida.

Haniza mempertikaikan tindakan tersebut dengan alasan Anwar pun bertemu dengan Muhyiddin.

Kelmarin, Anwar mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara lain membincangkan mengenai langkah kerajaan menangani Covid-19, termasuk bantuan kepada rakyat.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan menyifatkan pertemuan itu wajar namun tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan yang diketuai oleh Muhyiddin adalah kerajaan “pintu belakang” yang bukan dipilih oleh rakyat.

Muhyiddin mengangkat sumpah perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas hampir seminggu kemelut politik setelah PH hilang majoriti di Dewan Rakyat, hampir 20 bulan selepas menang pilihan raya umum 2018.

Pada 24 Februari, Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri setelah Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH. 

Pada hari yang sama, sembilan ahli Parlimen PKR keluar parti selepas Azmin dan Zuraida dipecat keanggotaannya, menyebabkan PH semakin hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Azmin dan Zuraida kini menteri dalam kabinet Muhyiddin. – 16 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen