MAHARAJA Jepun, Naruhito akan menghadiri upacara pembukaan Olimpik Tokyo, kata pejabatnya hari ini.
Namun menurut pegawai istana, Permaisuri Masako tidak akan mengambil bahagian dalam upacara tersebut yang hanya membabitkan 1,000 tetamu jemputan tanpa kehadiran penonton di Stadium Olimpik pada Jumaat ini.
Biarpun maharaja berusia 61 tahun tidak mempunyai kedudukan dalam politik, namun baginda merupakan tokoh simbolik penting di Jepun.
Bulan lalu, perdana menteri Jepun menolak dakwaan bahawa Naruhito “khuatir” acara Olimpik dapat menyebarkan Covid-19 – sebaliknya mengaitkan pendapat itu kepada wakil agensi.
Laporan media tempatan mengatakan Naruhito akan menyempurnakan pembukaan temasya itu tetapi desas-desus mengatakan bahawa baginda tidak akan berucap pada upacara tersebut.
Naruhito yang menaiki takhta pada 2019 adalah penaung kehormat Olimpik Tokyo.
Kerabat diraja tidak mungkin menyaksikan acara Olimpik lain yang hampir semuanya akan dianjurkan secara tertutup bagi membendung jangkitan, kata laporan.
Menurut agensi berita NSK, Naruhito akan menerima kunjungan hormat dari pegawai kanan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa termasuk presidennya Thomas Bach di istana, Khamis ini.
Maharaja juga akan menjadi hos kepada perjumpaan pemimpin asing dan tetamu di istana pada hari Jumaat, kata NHK.
Bapa Naruhito, Maharaja Akihito menyempurnakan pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Nagano pada 1998
Sementara itu, datuknya, Maharaja Hirohito sempat menyempurnakan pembukaan kedua-dua temaysa Olimpik Tokyo 1964 dan Olimpik Musim Sejuk 1972 di Sapporo. – AFP, 20 Julai, 2021.
Komen