Pegawai, sukarelawan divaksin menjelang Olimpik Tokyo 2020


Hanya sebulan lebih sahaja sebelum pembukaan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai, penganjur kini bertungkus lumus menyiapkan peraturan virus selain memastikan peserta divaksinasi tepat pada masanya. – Gambar EPA, 18 Jun, 2021.

RIBUAN sukarelawan dan pegawai Olimpik mula divaksinasi di Tokyo pada Jumaat, lima minggu sebelum temasya, ketika para pakar memberi amaran ia akan lebih selamat jika acara itu diadakan tanpa penonton.

Hanya sebulan lebih sahaja sebelum pembukaan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai, penganjur kini bertungkus lumus menyiapkan peraturan virus selain memastikan peserta divaksinasi tepat pada masanya.

Penganjur juga berhadapan kontroversi dan masalah menentukan berapa ramai penonton tempatan akan dibenarkan hadir, jika ada.

Atlet Olimpik Jepun sudah mula divaksinasi, dan pelancaran diperluas pada Jumaat kepada pekerja Olimpik, sukarelawan dan mereka yang akan berinteraksi dengan peserta luar negara.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah memberikan cukup dos Pfizer-BioNTech untuk 40,000 orang, termasuk kakitangan lapangan terbang, media tempatan dan pengadil Olimpik.

Chika Hirai, pengarah kawalan dadah untuk Tokyo 2020, adalah antara mereka yang divaksinasi pada Jumaat, berkata beliau ada beberapa kerisauan tentang risiko virus sebelum disuntik.

“Sekarang saya akan diberi vaksin, saya akan merasa lebih yakin untuk buat kerja saya,” katanya kepada wartawan.

“Banyak orang dari luar negera, termasuk pemeriksa dari bidang saya, datang ke Jepun setelah diberi vaksin sendiri. Saya rasa lebih lega kerana kami juga tidak akan menjadi sumber penyebaran virus.”

Suntikan ini berlainan dari yang digunakan dalam program vaksinasi kebangsaan Jepun, yang bermula perlahan tetapi kini sudah mula bergerak laju, dengan lebih daripada enam peratus penduduk kini telah  lengkap divaksinasi.

Vaksinasi dilakukan ketika penganjur berusaha meyakinkan masyarakat temasya antarabangsa terbesar sejak pandemik bermula akan selamat.

Minggu ini mereka telah melancarkan buku peraturan virus, memperingatkan atlet mereka dapat dilarang dari Olimpik jika mereka melanggar peraturan tentang pemakaian pelitup muka atau ujian harian.

Bagaimanapun mereka berhadapan keputusan sukar mengenai adakah akan membiarkan penonton masuk, dengan sekumpulan pakar perubatan menasihati kerajaan pada Jumaat bahawa perlawanan tertutup akan lebih selamat.

“Risiko rendah jika tiada penonton di dalam tempat perlawanan, jadi kami rasa ini sangat sesuai,” tulis mereka dalam laporan yang disampaikan kepada kerajaan dan pihak penganjur Tokyo 2020. – AFP, 18 Jun, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen