Penaja Olimpik 2020 'sakit kepala' temasya masih tak menentu


Lebih kurang 60 syarikat Jepun bersama menghabiskan wang sejumlah AS$3.3 bilion untuk temasya itu, yang telah ditangguh setahun kerana pandemik. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

TEMASYA Olimpik 2020 sepatutnya menjadi peluang besar penaja, namun bangkangan masyarakat dan kemungkinan larangan terhadap penonton kerana pandemik Covid-19 telah menyebabkan beberapa penaja Jepun ‘sakit kepala’ dengan temasya sukan ini.

Lebih kurang 60 syarikat Jepun bersama menghabiskan wang sejumlah AS$3.3 bilion untuk temasya itu, yang telah ditangguh setahun kerana pandemik.

Malah syarikat-syarikat terkemuka seperti Toyota, Bridgestone dan Panasonic juga turut menjadi rakan kongsi Olimpik.

Tinjauan mendapati majoriti di Jepun mahu Olimpik dibatalkan atau ditangguhkan lagi, menyukarkan iklan berkaitan temasya itu. Selain itu, stadium tanpa penonton akan mengakibatkan kerugian tiket dan tiadanya layanan fizikal penaja kepada pelanggan, tiada keuntungan buat penaja.

Jika Olimpik Tokyo dibuka seperti dirancang iaitu pada 23 Julai, penaja masih boleh mengharapkan pendedahan global dari penyiar antarabangsa. Namun ketika Jepun berperang dengan gelombang koronavirus keempat, ada yang tidak selesa.

Toyota bulan lalu mengakui keprihatinan masyarakat dengan berkata mereka bimbang kekecewaan itu ditujukan kepada para atlet.

“Sebagai penaja, kami benar-benar tertekan dengan hal ini,” kata pengarah komunikasi Jun Nagata.

“Kami menderita setiap hari tentang apa yang perlu dibuat.”

Minggu lalu, akibat tekanan meningkat, akhbar penaja Asahi dengan lantang menarik diri dari temasya itu.

Dalam sebuah editorial, harian itu mendesak Perdana Menteri Yoshihide Suga untuk “membuat penilaian yang tenang dan objektif terhadap keadaan serta membuat keputusan untuk membatalkan Olimpik musim panas itu.”

Gesaan itu timbul bersama tentangan masyarakat yang semakin meningkat di Jepun, di mana tinjauan menunjukkan majoriti menentang Sukan yang akan berlangsung pada Julai dan Ogos.

Editor itu berkata ia “tidak dapat terima pertaruhan” untuk mengadakan acara tersebut, walaupun penganjur menegaskan ia dapat diteruskan dengan selamat.

Ia juga menuduh pemimpin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, termasuk naib presiden John Coates, “tak fikir panjang” dan “jelas melebihi batasan” dengan masyarakat Jepun.

Beberapa pemimpin perniagaan yang tidak terlibat dengan temasya itu malah jauh lebih tegas, dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten, Hiroshi Mikitani berkata temasya itu “misi bunuh diri”.

Penaja tempatan kini berada dalam keadaan sangat sukar, kata Norm O’Reilly, pengarah International Institute for Sport Business and Leadership di University of Guelph.

“Saya akan beri nasihat supaya fokus pada sokongan terhadap atlet,” katanya kepada AFP. – AFP, 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen