PENGADIL Malaysia Dr P. Thennavan merupakan antara 26 calon untuk mengadili acara karate pada temasya Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan pada Julai tahun depan.
Pengadil berusia 49 tahun itu berpengalaman luas dalam kejohanan bertaraf dunia di bawah Persekutuan Karate Dunia (WKF), berkata beliau juga terperanjat apabila senarai itu diumumkan oleh badan dunia berkenaan pada Jumaat, namun pada masa sama berasa bertuah.
Merupakan antara pengadil terbaik di Malaysia, Pengerusi Majlis Pengadil Persekutuan Karate Malaysia itu memulakan kerjayanya sebagai referi pada 1990-an selepas bersara sebagai atlet.
“Saya langsung tidak menjangka kerana ada banyak calon di seluruh dunia dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah karate dimasukkan sebagai antara acara sukan di Olimpik. Bagaimanapun, proses pemilihan adalah sukar kerana daripada 26 orang itu hanya 17 akan disenarai pendek untuk temasya di Tokyo tersebut.
“Kami perlu menjalani penilaian menyeluruh dengan menghadiri kejohanan pada 2021, dan daripada situ saya akan dinilai sama ada bersedia atau tidak oleh WKF. Saya rasa saya dapat peluang ini kerana WKF berkeyakinan terhadap kemampuan saya,” katanya.
Katanya jika disenarai pendek, beliau akan menjadi antara Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) pada temasya itu.
Thennavan yang meneruskan legasi ayahnya Hanshi Dr T. Ponniyah bersama dua lagi adik beradiknya iaitu P. Arivalagan dan P. Thiagu, telah berkecimpung dalam sukan itu selama 38 tahun.
Ketika eranya sebagai atlet, Thennavan yang memiliki tali pinggang hitam DAN 6, pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia sebanyak dua kali, selain muncul juara Sukan SEA lima kali dan merupakan juara kebangsaan tujuh kali.
Beliau berharap impiannya untuk menjadi pengadil pada temasya Olimpik dan ahli Majlis Pengadil WKF, iaitu kelayakan tertinggi dalam bidang itu, akan tercapai tidak lama lagi.
“Tidak kira berapa tahun atlet berlatih, keputusan pengadil pada dua ke tiga minit terakhir dalam satu-satu perlawanan akan menentukan kemenangan mereka. Justeru, kami harus benar-benar berpengetahuan untuk membuat keputusan,” katanya. – Bernama, 1 November, 2020.
Komen