CEO e-dagang Jepun sifatkan temasya Olimpik sebagai 'misi bunuh diri'


Berbaki hanya lebih 10 minggu hingga temasya Olimpik diadakan pada 23 Julai, rakyat Jepun kebanyakannya memilih agar ia ditunda lagi atau dibatalkan. – Gambar EPA, 15 Mei, 2021.

PENGANJURAN Sukan Olimpik Tokyo musim panas ini akan menjadi “misi bunuh diri” ketika pandemik koronavirus terus mengganas di seluruh dunia, kata ketua gergasi e-dagang Jepun, Rakuten memberi amaran.

“Adalah berbahaya untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa besar dari seluruh dunia,” kata ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Hiroshi Mikitani dalam wawancara dengan CNN.

“Jadi, risikonya terlalu besar dan ... Saya menentang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo tahun ini,” kata Mikitani, yang menggambarkan temasya sukan itu sebagai “misi bunuh diri”.

Pada Jumaat, Jepun melanjutkan darurat koronavirus ketika negara berdepan gelombang virus virus keempat.

Lonjakan kes memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara, dengan profesional perubatan berulang kali memberi amaran mengenai kekurangan tenaga kerja dan keletihan melampau.

Berbaki hanya lebih 10 minggu hingga temasya dibuka pada 23 Julai, pendapat umum tetap menentangnya, dengan kebanyakan memilih agar ia ditunda lagi atau dibatalkan.

Pada Jumaat, petisyen untuk membatalkan Olimpik Tokyo dengan lebih 351,000 tandatangan dikemukakan kepada gabenor bandar itu.

Mikitani, yang mengkritik kerajaan dalam menangani wabak tersebut dan menjadi tuan rumah Sukan Tokyo tahun ini, berkata belum terlambat untuk membatalkan acara itu, dengan mengatakan: “Semuanya boleh.”

Tetapi penganjur berkata mereka boleh mengadakan temasya dengan selamat susulan langkah pengekangan virus dan menegaskan kejayaan percubaan acara baru-baru ini, yang turut melibatkan beberapa atlet luar negara.

Perdana Menteri Yoshihide Suga juga berkata kepada wartawan pada Jumaat: “Adalah mungkin untuk mengadakan temasya yang selamat. Kami ingin meneruskan dengan persiapan.” – AFP, 15 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen