Penganjur Olimpik Tokyo benarkan kehadiran hingga 10,000 penonton 


Keputusan itu dibuat beberapa minggu sebelum upacara pembukaan yang dijadualkan akhir bulan ini. – Gambar EPA, 21 Jun, 2021.

PENGANJUR sukan Olimpik Tokyo membenarkan kehadiran hingga 10,000 penonton di acara sukan yang dipertandingkan. 

Pihak berkenaan turut memberi amaran ia mungkin akan diadakan secara tertutup sekiranya kes jangkitan Covid-19 melonjak. 

Keputusan itu dibuat beberapa minggu sebelum upacara pembukaan yang dijadualkan akhir bulan ini. 

“Berhubung keputusan kerajaan menguatkuasakan sekatan pada acara umum, penonton sukan Olimpik dihadkan kepada 50% daripada kapasiti tempat, maksimum 10,000 orang di semua acara,” kata penganjur dalam satu kenyataan. 

Keputusan untuk sukan Paralimpik akan ditangguhkan sehingga 16 Julai, seminggu sebelum sukan Olimpik bermula. 

“Sekiranya berlaku lonjakan kes jangkitan, kita akan kaji semula perkara ini dan mungkin akan mempertimbangkan untuk meneruskan acara tanpa penonton, kata Gabenor Tokyo Yuriko Kike.

Pakar perubatan, termasuk pegawai kanan kerajaan sebelum ini menyatakan mengadakan acara sukan secara tertutup lebih ideal dari perspektif kesihatan. 

Mereka bimbang jumlah kehadiran penonton akan mencetuskan jangkitan baharu di negara itu yang mash dalam proses memvaksinasi penduduknya. – AFP, 21 Jun, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen