Potong gaji menteri tak bantu masalah pekerja, kata ahli ekonomi


Rata-rata pengguna media sosial mahu gaji menteri dikurangkan bagi memastikan mereka juga merasakan kesan sama dialami rakyat yang rata-rata gaji dan upah bulanan menurun sejak tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2021.

PENGGUNA media sosial menggesa agar gaji menteri dikurangkan bagi memastikan mereka juga dapat merasakan kesan yang dialami oleh rakyat yang rata-rata gaji dan upah bulanan menurun sejak tahun lalu.
 
Berikutan data baharu dari kerajaan bahawa rata-rata gaji dan upah bulanan turun 9% pada 2020, ramai pengguna media sosial menyatakan kemarahan mereka terhadap perbezaan jurang gaji antara menteri serta rakyat.

Bagaimanapun, ahli ekonomi memberi amaran bahawa walaupun mengurangkan gaji dan upah bulanan menteri akan memuaskan hati orang ramai, namun ia tidak akan meningkatkan gaji minimum serta gaya hidup di negara ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin minggu lalu mendedahkan bahawa purata gaji dan upah bulanan menurun untuk pertama kalinya sejak 2010. 

“Setelah dua tahun berturut-turut merekodkan purata gaji dan upah melebihi RM3,000 sebulan, namun tahun lalu ia telah menurun kepada RM2,933,” katanya.

Membalas kenyataan Dr Uzir, @jonahlau menulis, “Akan menarik sekiranya data tersedia dapat melihat apakah gaji untuk WP (Wilayah Persekutuan) Putrajaya mengalami penurunan sama pada 2020.

Sementara itu Aida Rashid, 24, peguam pelatih di Selangor merasakan ada kehendak politik yang kuat dalam kalangan rakyat untuk menekan kerajaan bagi mengurangkan gaji dan upah bulanan menteri bahkan sebelum statistik diumumkan.

Menerusi Twitter dia menulis: “Jadi adakah Malaysia sudah mempunyai kumpulan pendesak untuk meminimumkan gaji menteri dan meningkatkan gaji minimum?”

Aida juga merupakan pengarah pemasaran HungerHurts Malaysia – platform sukarela untuk membasmi kemiskinan.

“Kita perlu peduli, marah terhadap mereka yang berkuasa untuk menyedarkan bahawa keterlaluan bagi menteri memperoleh gaji yang banyak ketika rata-rata rakyat masih memperoleh gaji minimum RM1,200,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah, menteri tidak memahami kesukaran yang harus dilalui rakyat.

“Mereka tidak berempati dengan penderitaan kita.

“Mereka bekerja untuk kita, bukan sebaliknya. Mereka harus diingatkan akan hal itu,” katanya.

Seorang guru di Kuala Lumpur, Chu Soon Qin, 26, berkata menteri tidak layak menerima gaji tinggi “melihat kepada bagaimana kerajaan kita sekarang mentadbir negara ini”. 

Felicia Tng, 25, bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Sekiranya pekerja biasa dibayar sesuai dengan prestasinya, mengapa tidak menteri kita?,” soalnya. 

Masalah sistemik

Benedict Weerasena, ahli ekonomi di institut penyelidikan bebas Bait Al Amanah berkata, pengurangan gaji menteri bukanlah satu penyelesaian tetapi dapat melegakan mereka yang tidak berpuas hati dengan prestasi Kabinet.

“Tetapi penurunan purata gaji pada 2020 disebabkan oleh pasaran buruh yang lemah. Menurunkan gaji menteri tidak akan mengubah kekuatan pasaran di pasaran buruh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Profesor ekonomi Universiti Malaya, Rajah Rasiah berkata, pemotongan gaji menteri pasti akan memberi isyarat positif.

“Walaupun gaji dan upah bulanan menteri dianggap terlalu tunggi, jumlah pendapatan mereka tidak akan cukup untuk gaji pekerja yang hilang.

“Sekiranya tenaga buruh tidak rasmi merupakan 60% dari jumlah tenaga kerja, kita melihat sekitar lapan juta pekerja yang memerlukan gaji penuh atau sebahagian,” katanya. – 19 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen