Siasat juga menteri, buktikan SPRM adil, gesa Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Di bawah kerajaan Perikatan Nasional, SPRM tidak lagi dilihat sebagai organisasi bebas dan profesional dalam memerangi rasuah di peringkat tertinggi, tanpa tanpa gentar atau pilih kasih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2021.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan terhadap menteri tertentu untuk menepis tanggapan rakyat bahawa agensi itu menjadi alat politik kerajaan, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata SPRM perlu lebih tegas dan adil dalam mengambil tindakan, susulan timbul dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan agensi antirasuah itu untuk menekan lawan.

“Di bawah kerajaan Perikatan Nasional, SPRM tidak lagi dilihat sebagai organisasi bebas dan profesional dalam memerangi rasuah di peringkat tertinggi, tanpa tanpa gentar atau pilih kasih,” kata ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan ke-19 di Seremban hari ini.

Tambah beliau, SPRM hanya berdiam diri terhadap menteri atau timbalan menteri, yang digelar “kartel menteri”, kerana menyalahguna kuasa.

Malah SPRM tidak menyiasat menteri yang berjaya mengumpul wang bagi melunaskan hutang RM1.3 juta dalam masa singkat untuk mengelakkan diisytiharkan muflis, katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun pada Februari berkata beliau selesai membayar hutang kepada sebuah syarikat penerbitan program televisyen dan filem yang berpangkalan di Paris.

Syarikat itu menyaman Rina pada 8 November 2018 dan menuntut hutang dilunaskan sebelum 31 Julai 2019. Menteri itu menerima notis kebangkrapan bagi hutang berjumlah RM1.3 juta.

Tuntutan itu melibatkan beberapa filem, rancangan komedi dan dokumenteri untuk tiga syarikat di mana Rina adalah pengarah.

Pemimpin pembangkang mempersoalkan bagaimana Rina mampu mengumpulkan jumlah sebegitu besar, sedangkan maklumat dalam Pengisytiharan Harta pada 20 November 2019 menunjukkan asetnya hanya berjumlah RM72,000. – 11 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen