Menteri, timbalan menteri Umno kekal dalam kerajaan hingga Ogos, kata Zahidi


Ahli MKT Umno Zahidi Zainul Abidin dipetik Malaysiakini berkata semua menteri dan timbalan menteri Umno akan kekal dalam kerajaan PN sehingga Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

SEMUA menteri dan timbalan menteri Umno akan kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Ogos, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi  parti itu Zahidi Zainul Abidin.

Beliau dipetik Malaysiakini berkata, perkara itu dimaklumkan oleh seorang timbalan menteri yang hadir pada pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Kami diberitahu oleh menteri bahawa kami akan tetap berada dalam pentadbiran hingga Ogos di bawah kapasiti individu.

“Keputusan (mengenai menteri-menteri Umno meletakkan jawatan Kabinet) dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara. Tidak ada gunanya kita berhenti (sekarang) kerana ia akan menjadikan negara ini lebih teruk dan menyebabkan orang menderita (kerana Covid- 19),” beliau dipetik berkata demikian.

Zahidi yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia mengulas pertemuan antara Muhyiddin dengan menteri-menteri Umno semalam, sehari selepas Umno menetapkan keputusan akan menarik sokongan daripada PN pada bila-bila masa. 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung hujung minggu lalu mencabar menteri Umno agar letak jawatan, selepas parti Melayu itu memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin dalam Pilihan Raya Umum ke-15. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen