Seorang lagi menteri Indonesia disiasat kes rasuah


Menteri Sosial Indonesia Juliari Peter Batubara dipercayai menerima suapan kira-kira RM4.9 juta daripada agihan bantuan sembilan jenis barangan keperluan asas. – Gambar Facebook, 6 Disember, 2020.

MENTERI Sosial Indonesia Juliari Peter Batubara menyerah diri kepada agensi anti rasuah republik awal pagi tadi selepas beliau dinamakan sebagai suspek kes rasuah berhubung bantuan kebajikan untuk rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, lapor media.

Beliau menyerah diri ke pejabat suruhanjaya pencegahan rasuah (KPK) di Jakarta pada pukul 2.45 pagi waktu Indonesia Barat (3.45 pagi waktu Malaysia).

Juliari, 48, adalah menteri kedua dalam Kabinet Presiden Joko Widodo yang dinamakan sebagai suspek jenayah rasuah dalam masa tidak sampai dua minggu melibatkan dua kes yang berbeza.

Pada 25 November lalu, KPK menahan bekas Menteri Kelautan dan Perikanan Edhy Prabowo atas dakwaan terlibat menerima rasuah berhubung kontrak eksport benih udang kara yang diagih-agihkan kepada syarikat yang didalangi pemimpin politik. 

Pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya atau Gerindra itu kemudian letak jawatan dalam kerajaan dan parti, serta memohon maaf kepada Jokowi dan presiden partinya Prabowo Subiando.

Juliari, yang juga pemimpin Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), ditetapkan sebagai suspek bersama dua pegawai kementerian dan dua individu daripada vendor pembekal barangan dan perkhidmatan bantuan sosial yang didakwa merasuah mereka, kata ketua KPK Firli Bahuri.

Seorang pegawai kementerian dan dua individu itu pada awalnya ditahan dalam operasi KPK antara lewat Jumaat malam sehingga awal pagi Sabtu. 

Operasi itu turut merampas barang bukti berupa wang tunai berjumlah hampir RM4.2 juta dalam pelbagai pecahan.

Siasatan awal KPK mendapati Juliari dipercayai menerima suapan kira-kira RM4.9 juta daripada agihan bantuan sembilan jenis barangan keperluan asas antaranya beras, gula, minyak, telur, dan garam, lapor media.

Suapan itu digunakan untuk membayar berbagai keperluan peribadi Juliari, kata Firli. – 6 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen