Agensi anti rasuah Indonesia tahan pegawai kerajaan, siasat rasuah bantuan Covid-19


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) adalah antara agensi kerajaan paling digeruni di negara itu kerana ketegasannya membanteras rasuah. – Gambar KPK, 5 Disember, 2020.

AGENSI anti rasuah (KPK) Indonesia menahan enam individu termasuk seorang pegawai Kementerian Sosial republik yang terlibat dakwaan rasuah berkaitan bantuan sosial Covid-19, lapor media di Jakarta.

Ketua suruhanjaya pencegahan rasuahnya Firli Bahuri mengesahkan penangkapan yang dibuat awal hari ini, lapor Tempo.

“KPK telah menahan pegawai program bantuan sosial Kementerian Sosial,” kata Firli seperti dipetik Tempo.

Mereka ditahan dalam operasi di sekitar Jakarta dan Bandung, tambah laporan itu.

Siasatan awal KPK mendapati pegawai berkenaan menerima hadiah daripada vendor penyedia barang dan khidmat bantuan sosial Covid-19 di kementerian.

Semasa peringkat awal penularan Covid-19, KPK memberi amaran memantau beberapa agensi kerajaan, antaranya penyaluran bantuan sosial untuk rakyat.

Ia malah memperkenalkan aplikasi khas untuk rakyat membuat aduan segala hal berkaitan penyaluran bantuan sosial Covid-19.

KPK mempunyai masa 24 jam untuk menetapkan status mereka yang ditahan sebagai tertuduh. – 5 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen