Agensi anti rasuah Indonesia tahan menteri Kabinet Jokowi


Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Edhy Prabowo ditahan awal hari ini untuk siasatan dakwaan rasuah melibatkan urusan di kementeriannya. – Gambar fail Facebook, 25 November, 2020.

AGENSI anti rasuah Indonesia menahan Menteri Kelautan dan Perikanan Edhy Prabowo awal hari ini untuk siasatan dakwaan rasuah melibatkan urusan di kementeriannya, lapor media di Jakarta.

Edhy, 48, ditahan untuk siasatan berhubung dakwaan salah laku rasuah dalam urusan eksport benih udang kara, lapor Tempo.

Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) menahan Edhy di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta lebih kurang jam 1.30 pagi tadi, sebaik menteri kabinet Joko Widodo itu pulang dari lawatan kerja ke Amerika Syarikat, kata laporan itu.

Penahanannya juga disahkan oleh timbalan ketua KPK Nawawi Pomolango kepada beberapa media lain.

“Benar kita menahan sejumlah orang pada malam dan dinihari tadi,” katanya seperti dipetik CNN Indonesia.

Majalah Tempo pernah mendedahkan isu yang mencurigakan berhubung urusan eksport benih udang kara dalam satu laporan khas pada Julai lalu.

Laporan itu membongkar kewujudan 30 syarikat eksport benih udang yang baru ditubuhkan dalam masa beberapa bulan lalu, melibatkan beberapa pimpinan Parti Gerakan Indonesia Raya atau Gerindra.

Edhy adalah seorang daripada dua pimpinan kanan Gerindra yang dilantik menganggotai Kabinet Jokowi untuk penggal kedua pentadbirannya pada Oktober 2019.

Kementerian Kelautan dan Perikanan kemudian menjelaskan kebenaran eksport benih udang kara itu dikeluarkan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kementerian untuk menilai kelayakan syarikat serta mengawal kaedah teknikalnya.

Dalam satu laporan lain, suruhanjaya pengawasan persaingan perniagaan Indonesia mengesahkan mereka sedang menyiasat dakwaan monopoli dalam bisnes eksport benih udang kara.

Eksport benih udang kara diaktifkan semula selepas Edhy dilantik ke kementerian itu menggantikan menteri sebelumnya Susi Pudjiastuti.

Semasa memegang jawatan dalam Kabinet Jokowi penggal pertama, Susi melarang kegiatan eksport benih udang kara atas alasan menjaga kepentingan jangka panjang ekonomi Indonesia dalam penghasilan laut. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen