Bekas menteri, timbalan akan jalani ujian kedua Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Semua kontak rapat pesakit positif Covid-19 akan menjalani ujian kedua sebelum kuarantin 14 hari berakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

SEORANG bekas menteri dan timbalannya akan diuji sekali lagi untuk Covid-19 walaupun sudah diisytiharkan negatif pada ujian kali pertama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, ujian semula itu bukan hanya dilakukan kepada bekas menteri dan timbalan tetapi ia adalah prosedur biasa dilakukan untuk semua kontak rapat pesakit Covid-19.

Ujian kedua akan dilakukan sebelum tamatnya tempoh kuarantin 14 hari.

“Ya, mereka akan dikuarantin di rumah dan akan diuji sekali lagi pada hari ke-13,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Noor Hisham menjawab soalan sama ada kontak rapat pesakit yang diuji negatif seperti bekas menteri dan timbalannya itu akan diuji semula.

Pada 2 Mac lepas, Bernama melaporkan kedua-dua mereka sedang menjalani kuarantin rumah selepas hasil ujian pertama Covid-19 negatif.

“Sudah jalani ujian pengesanan, ujian negatif, tetapi menjalani kuarantin sendiri di rumah.

“Saya sihat; Alhamdulillah,” kata wakil rakyat Bersatu itu dipetik Bernama.

Bekas menteri dan timbalannya itu dipercayai adalah kontak rapat pesakit ke-26 yang merupakan pengerusi UDA Holdings. Mereka bertiga bertemu pada sebuah majlis, 27 Februari lalu.

Pesakit ke-26 itu sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Kementerian Kesihatan semalam berkata terdapat 26 kes dalam kluster dikaitkan dengan pesakit ke-26.

Bagi mereka yang asimptomatik pula, Dr Noor Hisham berkata mereka akan diuji sekiranya didapati menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19.

“Asimtomatik tetapi kontak rapat pesakit positif akan kami siasat dan uji mereka,” katanya.

Setakat Jumaat, terdapat 83 kes dilaporkan di Malaysia, 23 daripadanya sudah pulih.

Hampir 100,000 orang dijangkiti virus bahaya itu di seluruh dunia, dan angka korban kini mencecah 3,300 orang. – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen