Mendepani cabaran dengan penuh rasa tanggungjawab


DUNIA seakan-akan gelap selepas dia mendapat tahu yang syarikatnya akan gulung tikar. Bayangkan, tempat yang telah dicurahkannya bakti sejak sekian lama itu akhirnya menghentikan operasi.

Selama ini, syarikatnya itulah punca semangatnya. Rutin hariannya selama ini berlegar hanya di sekitar bangunan pejabat – bersosial di situ, makan di situ, ada kalanya tidur pun di situ. Dia seorang yang berkeazaman tinggi.

Dia tidak pernah mengular dan ponteng kerja. Biarlah rakan-rakan sekerjanya lain melepak, dia masuk ke pejabat, terus mengetuk papan kekunci komputer menyiapkan kerja. Jika kerjanya siap awal, dia akan membuat kajian tambahan untuk memantapkan lagi kemahiran sedia ada. 

Habis kapak berganti beliung – dia sangat rajin bekerja.

Namun kini, di depan matanya, surat penamatan perkhidmatan. Di mindanya terfikir tentang mak ayah di kampung. 

Sebelum ini dia tidak pernah gagal memberikan duit belanja bulanan kepada kedua-dua orang tuanya itu. Tapi kini, dia sedih memikirkan kemungkinan tidak dapat berbuat demikian selepas ini.

Dia terduduk, resah dan gelisah. Apa yang menimpanya juga menimpa rakan-rakan sekerjanya. Ada yang sudah beristeri, ada yang sudah ada anak, ada juga yang sedang menjaga orang tua mereka. 

Semua putus punca rezeki. Semua menjadi penganggur sekelip mata.

“Tak dapat aku bayangkan bagaimana mereka nak bagi tahu keluarga kat rumah. Macam mana nak bagi tahu isteri dan anak yang ‘bread winner’ mereka ini dah berstatus penganggur,” cetus hatinya dalam empati.

“Mereka ada anak untuk dibesarkan, mereka juga ada mulut hendak disuap juga,” tambahnya.

Dia turut terfikir tentang nasib graduan-graduan yang baru sahaja habis pengajian. Bagaimana golongan itu mahu menembusi pasaran pekerjaan kalau syarikat pun membuang pekerja mereka sendiri? 

Perkhidmatan dia dan rakan-rakan sekerjanya dengan syarikat tersebut hanya setakat itu sahaja. Dia dengan pasrah, cuba ‘move on’ mencari peluang kerja lain namun ia tidak semudah seperti yang disangka. Bak kata Bahasa Inggeris, ‘easier said than done’.

Agak sukar mencari pekerjaan pada ketika ini. Banyak perniagaan turut berhadapan dengan masalah. Dia cuba ringan mulut bertanya kalau-kalau ada peluang kerja dalam bidangnya namun hampa. Untuk memastikan kelangsungan hidup, dia melakukan kerja-kerja rencam.

Kisah ini sebagai satu gambaran bagaimana seseorang meskipun komited dalam kerjanya terpaksa berdepan dengan risiko pemberhentian kerja ekoran syarikatnya terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Pandemik yang melanda ini telah memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat. Selain golongan pekerja yang hilang pekerjaan mereka, para graduan juga terkena impak kehilangan peluang kerja.

Diunjurkan, kira-kira 25% atau 75,000 orang daripada 300,000 graduan pada tahun ini terjejas peluang mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, akibat impak daripada Covid-19.

Keadaan dunia yang diselubungi pandemik ini memberi kesan yang besar kepada kehidupan harian ramai daripada kita. 

Ramai tertekan dengan impak virus ini bukan sahaja dari segi kesihatan malah dari segi ekonomi. Perniagaan terjejas, institusi kekeluargaan terkesan. 

Ramai mereka yang hilang kerja ini pastinya mahukan peluang kedua. Mereka mengharapkan keadaan kembali seperti sedia kala, ketika gaji masuk ke akaun tepat pada masanya, bil-bil utiliti dibayar dengan lancar dan ahli keluarga cukup perbelanjaannya.

Bagaimanapun, apakan daya. Liku-liku hidup ini perlu dilalui dengan tabah. Didoakan mereka yang menghadapi dugaan ini dipermudahkan urusan dan diberikan penyelesaian sewajarnya. 

Bagi mereka yang bernasib baik masih memiliki pekerjaan, eloklah dibulatkan tekad untuk memberikan yang terbaik dalam apa yang kita lakukan. 

Tidak kiralah apa juga pekerjaan kita, kolar putih atau kolar biru waima menteri sekali pun, buatlah kerja betul-betul. Jangan persia-siakan peluang yang ada. 

Tidak semua orang memiliki peluang memperoleh gaji bulanan tepat pada masanya. Ada di luar sana yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Bila kita memegang jawatan tertentu, buatlah kerja betul-betul dan mainkan peranan sewajarnya. 

Kalau memegang jawatan menteri, permudahkanlah urusan rakyat dengan membantu mereka yang memerlukan. Jadi teladan terbaik kepada rakyat.

Ini kerana rakyat sedang memerhati. Sebuah kerajaan yang prihatin, yang mengangkat agenda kebajikan rakyat, akan pasti disayangi oleh rakyatnya sendiri. Pastikan tiada layanan dwistandard dalam aspek penguatkuasaan dan pastikan semua tindakan berlandaskan undang-undang.

Mari bersama menempuhi cabaran pandemik ini dengan rasa penuh bertanggungjawab. 

Semoga perang melawan gelombang ketiga Covid-19 ini dapat dimenangi, dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing. Moga lekas negara ini bebas daripada cengkaman pandemik ini.

Berbalik kepada kisah di atas, kita berharap mereka yang menghadapi masalah kehilangan kerja ini tidak berputus asa dan tidak putus harapan. 

Moga ada sinar bagi kita semua dalam masa terdekat ini. – 13 Oktober, 2020.

* Ben Zack, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Penulisan baik yang berempati dengan situasi sukar rakyat malaysia sekarang. Diluah mati emak, ditelan mati bapak ibaratnya keadaan rakyat sekarang. Amiin buat doa di hujung artikel penulis.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh SriCandy Momoa · Ulasan