Graduan luah kebimbangan mengenai pasaran kerja  


Alfian Z.M. Tahir Aminah Farid

Pandemik koronavirus serta masalah ekonomi global menyebabkan graduan bimbang mengenai peluang pekerjaan mereka pada masa akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2020.

ABDUL Afiq Rahim sanggup berhenti kerja untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dan akan bergraduat tahun ini, namun beliau kini tertanya-tanya apakah tindakan yang diambil itu pilihan yang tepat.

Pandemik koronavirus serta masalah ekonomi global menyebabkan jutaan penduduk hilang pekerjaan dan Afiq bimbang peluang pekerjaan yang tipis untuknya memandangkan beliau baru bergraduat.

Kira-kira 50,000 pelajar dijangka bergraduat daripada institusi pengajian tinggi dan setiap tahun dan pasti ramai yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan. 

Kajian Kementerian Pendidikan pada 2018 mendapati, daripada 51,365 pemegang ijazah pertama, hampir 60% masih belum bekerja pada tahun pertama selepas bergraduat.

Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang menggaji dua pertiga daripada rakyat Malaysia memberi peringatan bahawa pandemik dan keadaan ekonomi semasa akan menyebabkan ramai diberhentikan kerja.

“Pandemik ini menjejaskan ekonomi dunia dan saya hampir tamat pengajian, saya bimbang sama ada saya akan dapat kerja selepas saya tamatkan pengajian,” kata Afiq kepada The Malaysian Insight.

“Saya sudah bekerja sebelum saya buat keputusan untuk sambung pengajian dan kini saya tidak pasti sama ada saya sudah buat keputusan yang betul.

“Saya terfikir untuk tidak terburu-buru mendapatkan pekerjaan sebelum Covid-19 menjadi isu. Sekarang saya terfikir, adakah saya akan dapat kerja pada waktu seperti ini? Sejujurnya saya agak bimbang dengan masa depan,” kata Afiq yang merupakan penuntut tahun akhir jurusan seni kreatif di sebuah institusi pengajian di Lembah Klang.

Sementara itu, Fahmi, 22, yang merupakan graduan seni bina daripada Universiti Teknologi Mara turut menyuarakan pandangan yang sama.

Walaupun telah bergraduat tidak lama dulu, sebelum pandemik ini melanda pun beliau dapati sukar untuk mendapat pekerjaan tetap dalam bidang itu.

“Sekarang saya kerja sementara sebagai penghantar makanan dan saya telah tamat belajar tidak lama dulu. Sebelum krisis ini pun, sukar untuk saya dapat kerja yang saya mahukan. Jadi untuk sara hidup, saya kerja separuh masa.

“Dengan Covid-19 dan ditambah pula kelembapan ekonomi, saya tak pasti sama ada saya akan dapat kerja dalam seni bina,” katanya yang mempunyai ijazah kelas pertama.

“Ironinya, pendapatan sebagai penghantar makanan lebih tinggi kerana banyak pesanan diterima sebab orang ramai tidak boleh keluar rumah. Namun selepas pandemik ini tamat, adakah ekonomi akan lebih kukuh?”

Negara kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac berikutan penularan Covid-19, menyebabkan perniagaan ditutup dan ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan atau dipaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Mengharapkan bantuan kerajaan 

Graduan yang akan memasuki salah satu industri yang mempunyai permintaan tinggi seperti pendidikan awal kanak-kanak turut bimbang dengan masa depan mereka.

Vinesha Kunalan memberitahu The Malaysian Insight, beliau terfikir untuk menjadi tutor peribadi atau mengajar muzik sekiranya tidak mendapat kerja mengajar sepenuh masa.

“Saya merasakan masih ada peluang pekerjaan dalam bidang ini kerana banyak pra-sekolah di luar sana yang memerlukan guru baru, kata penuntut tahun kahir jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak itu.

“Sekiranya tiada peluang kerja, saya boleh mula mengajar tuisyen atau mengajar muzik kepada kanak-kanak,” katanya yang menyambung pengajian di peringkat ijazah di sebuah kolej swasta.

“Saya merancang untuk buat kerja separuh masa sementara menunggu kerja tetap. Saya juga sedang memikirkan untuk mengambil diploma dalam bidang masakan kerana ia juga ada masa depan yang cerah,” katanya.

Walaupun golongan pendidik dan duru disenaraikan sebagai pekerjaan kritikal oleh agensi sumber manusia, Talent Corp, Vinesha tahu bidang itu juga mempunyai kesukarannya.

“Saya pernah bekerja di beberapa sekolah sebelum ini dan saya sedr kebanyakan masalah untuk kekalkan guru adalah kerana bayaran gaji yang terlalu rendah,” katanya.

Walaupun menghadapi masalah besar, Syarifah Nor Idayu Sheikh Fadzil yakin bahawa kerajaan akan membantu graduan yang menganggur.

“Saya tahu ramai orang tidak boleh pergi kerja dan ekonomi terlalu lembab, namun saya fikir selepas isu virus ini berakhir, keadaan akan menjadi lebih baik dan graduan tidak akan berdepan masalah untuk mendapatkan pekerjaan,” kata penuntut Universiti Selangor itu.

“Namun sekiranya keadaan semakin teruk selepas pandemik, saya percaya kerajaan akan mencari alternatif untuk membantu rakyat seperti saya mendapatkan pekerjaan. Mungkin kerajaan akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk kita,” katanya yang merupakan penuntut jurusan teknologi perubatan.

Sementara itu, Chai Jia Hui berkata, beliau terfikir untuk menyambung pengajian ke peringkat iazajah sarjana selepas tamat pengajian kerana sukar dapat kerja.

“Saya rasa ada pekerjaan yang akan digantikan dengan jentera berteknologi tinggi dan pandemik ini akan menjadi permulaan fasa itu.

“Jadi, pelajar tahun akhir boleh mula fikirkan masa depan mereka. Saya merancang untuk sambung pengajian selepas tamat ijazah pertama.

“Ini kerana saya percaya dengan latar belakang pendidikan yang tinggi, peuang untuk mendapatkan pekerjaan lebih cerah. Hampir semua orang miliki ijazah sarjana muda jadi lebih unik jika kamu miliki lebih daripada itu. – 24 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen