SEKURANG-KURANGNYA 30 banduan dan dua pegawai penjara dilaporkan cedera dalam rusuhan di penjara Los Angeles pada Khamis petang, lapor Xinhua, memetik media tempatan.
Pusat Tahanan Pitchess Castaic, lebih dikenali penjara Wayside, terletak di kota Santa Clarita 63 kilometer (km) di timur laut Los Angeles dan dikendalikan Jabatan Sheriff Daerah Los Angeles. Ia dibina untuk menempatkan sekitar 8,600 banduan lelaki di empat kemudahan berasingan.
Akhbar tempatan Santa Clarita Valley Signal melaporkan di laman web rasminya Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) menerima panggilan kecemasan pada 3.11 petang waktu tempatan (2211GMT) dan menghantar beberapa ambulans ke lokasi kejadian.
Jurucakap LAFD Marvin Lim, dipetik sebagai berkata “pergaduhan besar” itu mencederakan lebih 30 individu dan tidak jelas sama ada anggota Jabatan Syerif Daerah Los Angeles terlibat atau cedera dalam insiden itu.
Jurucakap Biro Maklumat Syerif Daerah LA, Shawn Dubusky menyatakan beliau tidak dapat mengesahkan jumlah yang cedera, tetapi kedua-dua pihak, petugas dan banduan terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Akhbar itu turut menyiarkan gambar menunjukkan puluhan syerif yang tidak bertugas berkumpul di tempat letak kereta di Pusat Tahanan Pitchess berikutan rusuhan itu. – Bernama, 16 Julai, 2021.
Komen