Los Angeles laksana sekatan baharu, larang hampir semua himpunan


Los Angeles melaksanakan sekatan baharu yang bermula Isnin ini hingga 20 Disember. – Gambar EPA, 28 November, 2020.

LOS Angeles pada Jumaat mengumumkan larangan sementara bagi perkumpulan dari isi rumah berlainan di bawah “perintah selamat di rumah” baharu susulan lonjakan kes Covid-19, dengan pengecualian kepada perkhidmataan keagamaan dan protes.

Perintah melibatkan bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu akan berkuat kuasa pada Isnin dan berlangsung sekurang-kurangnya tiga minggu, sehingga 20 Disember, kata jabatan kesihatan awam daerah itu.

“Dalam perintah baharu yang berkuat kuasa pada Isnin, penduduk disarankan tinggal di rumah sekerap mungkin,” kata satu kenyataan.

“Semua perjumpaan awam dan persendirian dengan individu yang bukan di kalangan isi rumah anda dilarang, kecuali bagi perkhidmatan keagamaan dan protes, yang merupakan hak dilindungi oleh perlembagaan,” katanya.

Los Angeles yang berpenduduk padat mempunyai lebih 7,600 kes kematian akibat koronavirus - lebih satu pertiga kematian di California - walaupun Covid-19 semakin berleluasa di kawasan pedalaman terpencil di Golden State.

California minggu lalu melaksanakan perintah berkurung waktu malam kepada sebahagian besar negeri, sementara daerah Los Angeles pada Rabu melarang makan di restoran tetapi membenarkan perkhidmatan penghantaran diteruskan.

Arahan itu dibuat apabila purata kes harian di kebanyakan daerah Los Angeles melepasi angka 4,500 minggu ini, membawa kepada langkah lebih ketat.

Langkah “lebih selamat di rumah” tidak seketat penutupan bandar kali pertama pada Mac, yang menyaksikan hampir semua perniagaan menutup premis fizikal mereka.

Bagaimanapun, arahan baharu mengurangkan had penghunian di pelbagai perniagaan yang masih boleh dibuka, termasuk kedai, spa dan perpustakaan.

Semua sekolah dibenarkan beroperasi kecuali berlaku wabak.

“Langkah bersasar ini akan berkuatkuasa selama tiga minggu dan masih membenarkan banyak aktiviti penting dan tidak penting dengan penduduk harus memakai pelitup muka dan penjarakan diri,” kata pengarah kesihatan awam Barbara Ferrer.

“Kami tahu banyak yang diminta daripada semua penduduk yang berkorban selama berbulan-bulan dan kami berharap agar penduduk L.A. terus mengikuti langkah keselamatan Kesihatan Awam yang kami tahu mampu memperlahankan penyebaran.” – AFP, 28 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen