#BenderaPutih: Masa untuk bangkit, rakyat jaga rakyat


ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kibaran bendera putih yang datang dari inisiatif rakyat Malaysia bagi meredakan kesengsaraan hidup ketika ini. Abim menegaskan, #BenderaPutih ini adalah satu manifestasi suara rakyat melangkaui kepentingan politik kepartian.

Sebaliknya, ia menyedarkan pemimpin negara bahawa keadaan rakyat ketika ini sudah kritikal. Ini dapat dilihat menerusi beberapa insiden yang menyedihkan termasuklah kes bunuh diri yang semakin meningkat.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 1 Julai 2021, secara keseluruhan statistik bunuh diri di Malaysia menjangkau angkat 1,000 dari tahun 2019 hingga Mei 2021 serta menyaksikan purata kes bunuh diri dua kali sehari.

Maka, Abim menegaskan menerusi beberapa inisiatif baik yang datang dari rakyat termasuk kibaran bendera putih, ia satu terjemahan kepada fenomena baharu rakyat jaga rakyat iaitu rakyat bersama-sama membantu antara satu sama lain tanpa perlu menunggu inisiatif dari kerajaan.

Jika kerajaan gagal dalam menjaga kebajikan rakyat, maka pihak kerajaan dan pihak berkuasa sekurang-kurangnya tidak patut menghalang inisiatif murni rakyat untuk membantu rakyat yang lain. Tekanan seperti ini bakal menzahirkan kemarahan rakyat yang memang sudah semakin tertekan.

Abim juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru seluruh rakyat atas semangat Bangsa Malaysia untuk bersama berganding bahu membantu antara satu sama lain sebagai mekanisme bersama untuk memberdaya rakyat untuk jangka masa panjang, kerana situasi permasalahan yang berlaku hari ini menimpa semua pihak tanpa mengira kaum dan agama yang harus dibantu dan diberdaya bersama.

Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong. – 2 Julai, 2021.

* Muhammad Faisal bin Abdul Aziz, presiden Abim

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen