Bendera putih simbol kegagalan Putrajaya, kata Ramasamy


Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata situasi bendera putih tidak akan berlaku sekiranya kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas dan setia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai 2021.

KEMPEN bendera putih menampakkan kegagalan kerajaan untuk melindungi rakyatnya pada masa yang sangat memerlukan, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata situasi bendera putih tidak akan berlaku sekiranya kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas dan setia.

“Kempen ini mencerminkan dua perkara penting tetapi saling berkaitan: pandemik Covid-19 menyukarkan kehidupan masyarakat apatah lagi untuk kelangsungan hidup.

“Dan yang kedua, mendedahkan kelonggaran sikap kerajaan dalam memerangi pandemik itu.

“Situasi menjadi sangat kritikal sehingga memaksa rakyat mengibarkan bendera putih di depan rumah mereka sebagai tanda untuk merayu bantuan segera,” kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Kempen bendera putih itu dimulakan awal minggu ini bagi membolehkan mana-mana masyarakat, keluarga dan individu yang terjejas mengibarkan bendera putih sebagai tanda mendapatkan bantuan segera daripada anggota masyarakat untuk mengurangkan penderitaan mereka.

Ramasamy berkata, disebalik sikap retoriknya, Putrajaya masih belum dapat membendung wabak itu yang nampaknya memberi kesan buruk terhadap kehidupan rakyat biasa.

Beliau menyalahkan kerajaan pusat berhubung urusan perolehan dan pengedaran vaksin yang terlalu berpusat serta kegagalan mempertimbangkan perbezaan antara negeri dan daerah dalam pencegahan wabak tersebut.

Katanya, rakyat biasa sangat terkesan dengan pandemik tersebut.

Beliau berkata banyak ramai rakyat Malaysia merasa sukar untuk mendapatkan barang keperluan asas untuk kelangsungan hidup keluarga mereka malah jumlah kes bunuh diri semakin meningkat. – 2 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen