Bahas kajian kesan Covid-19 di PPR KL di Parlimen, kata Abim


Perbahasan laporan kajian di Parlimen akan membolehkan kerajaan mendapat penyelesaian terbaik kepada isu melibatkan golongan B40. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

PARLIMEN perlu membahaskan laporan dua agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesan pandemik Covid-19 ke atas penduduk miskin di projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, yang diumumkan minggu ini, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Kajian itu adalah petunjuk kepada inisiatif kerajaan membantu rakyat, terutama aspek yang menyentuh pembangunan dan tumbesaran kanak-kanak, kata presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz.

“Abim menggesa supaya diberi ruang untuk laporan kajian ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi memastikan kita berjaya memperoleh penyelesaian terbaik kepada isu yang telah ditimbulkan melibatkan golongan B40 ini,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Awal minggu ini, Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) dan Tabung Kanak—Kanak PBB (Unicef) membentangkan laporan kajian melibatkan 500 isi rumah dari 30 keluarga di 16 rumah pangsa di Kuala Lumpur.

Kajian berterusan antara Mei hingga November ini bertujuan melihat kesan Covid-19 ke atas kedudukan kewangan dan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah, serta keberkesanan bantuan kerajaan.

Kajian yang diberi nama “Keluarga di Pinggiran” itu melibatkan satu dalam lima ketua keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal.

Kajian itu antara lain mendapati empat dalam 10 keluarga berpendapatan rendah di PPR di Kuala Lumpur merasakan hidup mereka akan lebih dijerut kesempitan ekonomi dalam masa enam bulan akan datang kesan pandemik Covid-19.

Mengenai pemakanan sepanjang tempoh PKP, kajian itu mendedahkan penduduk di PPR di Kuala Lumpur makan lebih banyak telur dan nasi, dengan telur menjadi pilihan utama sumber protein kerana lebih murah berbanding ikan dan daging.

Mereka juga menggantikan nasi dengan mi segera dan pada masa sama, kurang mengambil buah-buahan.

Kajian itu juga mendapati seorang dalam tiga ibu tunggal di PPR di Kuala Lumpur hilang pekerjaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikenakan sejak Mac lalu bagi membendung penularan wabak.

Kajian itu juga mendapati kadar pengangguran meningkat 25% daripada 5% yang sedia ada semasa soal selidik dijalankan, katanya. Kadar pengangguran itu lebih ketara dalam kalangan ibu tunggal.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang melawat penduduk di PPR Desa Rejang di Setapak mengakui masalah yang dihadapi oleh penduduk miskin bandar.

Beliau turut membangkitkan pemerhatiannya kepada Majlis Tindakan Ekonomi yang mengadakan pra-mesyuarat semalam dan meminta badan itu memikirkan langkah proaktif untuk membantu mereka. – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen