Cadangan dialog Abim dengan Dong Jiao Zong dipuji


Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz yang berkata penyelesaian secara damai hanya akan dicapai dengan mengadakan dialog. – Gambar fail The Malaysia Insight, 26 Disember, 2019.

SERUAN NGO Islam untuk berdialong dengan pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong berhubung pendirian pengajaran Jawi di sekolah rendah adalah cara paling tepat untuk menangani isu itu, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata ia sesuatu yang memberangsangkan apabila mengetahui ada “organisasi waras” seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang mengambil pendekatan berani untuk meredakan ketegangan.

“Berbanding pendekatan kebudak-budakan oleh kumpulan perkauman berhaluan kanan, Abim menyeru dialog dengan Dong Jiao Zong dan kumpulan yang mewakili sekolah Tamil vernakular.“Langkah

“Abim sekurang-kurangnya patut dipuji,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah Abim memahami cabaran yang dihadapi oleh Dong Jiao Zong, merujuk kepada Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz yang berkata penyelesaian secara damai hanya akan dicapai dengan mengadakan dialog.

“Kami mahu ini diselesaikan dengan aman, bukannya bertambah kepada kongres atau perhimpunan.

“Kita harus cuba sebaik mungkin, selagi ada jalan untuk penyelesaian yang baik. Jika kita mengadakan perhimpunan balas, kita perlu memahami hasil dan tujuan.

“Bagi kami, dalam sebarang isu dan dalam konteks Malaysia, kita tanganinya melalui persetujuan dengan mengadakan pertemuan dan berbincang dengan semua pihak dan menjelaskan segala isu antara satu sama lain,” kata Faisal.

Dong Jiao Zong akan mengadakan perhimpunan pada 28 Disember untuk membincangkan pengenalan tiga halaman pelajaran Jawi dalam buku teks Tahun 4 Bahasa Malaysia tahun depan.

Satu lagi kumpulan, Pasukan Bertindak Seni Khat (Sekat) akan mengadakan acara berasingan mengenai isu itu di sebuah hotel pada 29 Disember.

Dong Jiao Zong menjelaskan acara itu bukan perhimpunan atau protes tetapi persidangan bagi NGO Cina untuk membincangkan isu Jawi. Ia menambah acara itu tidak terbuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan berhaluan kanan meminta tindakan tegas terhadap Dong Jiao Zong dan Sekat.

Kumpulan seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengambil pendirian tegas dengan memberi amaran mengenai rusuhan kaum.

Ramasamy juga mengecam semua “kumpulan pelampau” ini, mendakwa mereka membangkitkan mengenai rusuhan 13 Mei apabila mereka menentang sesuatu.

“Kenapa beberapa organisasi perkauman harus membangkitkan mengenai ancaman rusuhan kaum 13 Mei jika mereka tidak setuju dengan pertemuan atau perhimpunan?

“Adakah dengan menakut-nakutkan 13 Mei akan menghalang perbincangan, dialog dan mesyuarat?”

Beliau juga menyelar pemimpin Pakatan Harapan kerana berdiam diri.

“Apa yang mengejutkan bukanlah perkauman atau ketaksuban agama, tetapi sikap berdiam diri pemimpin yang berjuang keras untuk Malaysia yang baru.

“Sekalipun ada perbezaan dengan Dong Jiao Zong mengenai skrip Jawi atau pendidikan vernakular, pastinya ia tidak meminta terlalu banyak kerana mempertahankan hak demokratik mereka untuk mengadakan kongres,” katanya. – 26 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen