Kumpulan Islam tetap teruskan kegiatan antara agama


Sheridan Mahavera

Kumpulan Abim dan Ikram menghormati hasrat Jakim untuk umat Islam tidak mengambil bahagian dalam sesi doa bersama agama lain tetapi mereka akan terus mengadakan kegiatan antara agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2019.

KUMPULAN Islam akan meneruskan aktiviti antara agama walaupun ada arahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bahawa umat Islam tidak boleh menyertai majlis berdoa bersama agama lain.

Dua kumpulan Abim dan Ikram memberitahu The Malaysian Insight, mereka menghormati hasrat Jakim untuk umat Islam tidak mengambil bahagian dalam sesi doa bersama agama lain tetapi mereka akan terus mengadakan kegiatan antara agama.

Abim dan Ikram adalah dua kumpulan Muslim peringkat nasional terbesar dan terkenal dengan anggota serta rangkaian di setiap negeri.

Mereka masing-masing menganjurkan purata 10 kegiatan antara agama dalam setahun dengan golongan bukan Islam sebagai sebahagian dari usaha untuk memupuk persefahaman dan keharmonian antara pelbagai kaum.

Ini termasuk kunjungan orang Islam ke kuil dan gereja, dialog awam antara para pemimpin agama serta acara sukan yang memaparkan pasukan multi-etnik.

Presiden Pergerakan Pemuda Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahimi berkata kontroversi mengenai solat tidak seharusnya menjadi isu untuk menghalang dialog atau kegiatan antara agama.

“Kegiatan seperti itu tidak mengancam keyakinan agam seseorang. Malah kita perlu meningkatkan dialog antara agama untuk memupuk persefahaman antara kita,” katanya.

Kenyataan Raimi dibuat susulan arahan daripada Jakim dan Jawatankuasa Mempromoiskan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPA) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk melarang umat Islam mengambil bahagian dalam sesi doa bersama agama lain.

Arahan itu merujuk kepada acara doa beramai-ramai sebelum memulakan program antara umat Islam dan bukan Islam yang meliputi dua keadaan:

* Di mana umat Islam membaca doa mereka serentak dengan penganut agama lain yang membaca doa mereka sendiri sebelum majlis bermula.

* atau ketika umat Islam dan bukan Islam bergilir-gilir membaca doa mereka sendiri sebelum majlis bermula.

Di dalam surat itu JKMPA menyarankan agar upacara itu perlu “digantikan dengan pengisian aktiviti perkongsian mesej perpaduan”.

Prof Badlishah Sham Baharin dari Ikram berkata kumpulan itu juga akan mematuhi arahan Jakim dan mengalu-alukan cadangan JKMKPA untuk menekankan mesej perpaduan.

“Ikram sentiasa mengadakan program untuk menggalakkan keamanan dan persefahaman serta membina jambatan antara agama dan komuniti yang berbeza,” katanya.

Di antara beberapa aktiviti Ikram yang menarik perhatian adalah lawatan oleh pelajar Islam ke kuil dan gereja serta kejohanan bola sepak yang dipanggil Piala Harmony Football.

Badlishah berkata Piala Harmony Football menampilkan pasukan pelbagai kaum dan bertujuan memulihkan semangat pasukan bola sepak Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik 1980. – 7 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen