Putrajaya komited hantar pulang warga asing tanpa izin, kata Hamzah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata sebelum dihantar pulang, status pelarian akan disahkan terlebih dahulu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 April, 2021.

KERAJAAN komited dengan keputusan untuk menghantar pulang warga asing tanpa izin ke negara asal mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau yang hairan dengan tindakan aktivis hak asasi manusia mempersoal tindakan itu berkata, kerajaan menanggung kos hampir RM30 sehari untuk setiap warga asing dalam tahanan.

Angka yang dikeluarkan oleh Imigresen pada tahun lalu menganggarkan terdapat lebih 20,000 warga asing tanpa izin dalam tahanan di seluruh Malaysia.

“Penghantaran pulang warga asing yang bersalah, apabila sampai masa kita hantar pulang. Hendak tahan mereka lagi buat apa? 

“Yang saya tak faham ada NGO minta jangan hantar pulang tu, kenapa?

“Kalau sayang sangat, mereka tanggunglah kos,” katanya pada sidang media melancarkan sistem baharu Imigresen di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penghantaran pulang warga Myanmar berstatus pelarian, Hamzah berkata status pelarian itu akan disahkan terlebih dahulu sebelum mereka dihantar pulang.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen selepas mereka ini layak untuk dihantar pulang kita tengok semula sama ada mereka benar-benar pelarian.

“Tetapi, kalau dia sendiri tulis surat kepada kita dia nak balik selepas dia sudah jalani hukuman, kita hantar pulang.

“Kepada mereka, sesiapa yang mereka sayang, saya hantar bil kos, dan nak bagi duduk di hotel pun tak apa,” katanya.

Pada 24 Februari lalu, Jabatan Peguam Negara membantah permohonan dua badan hak asasi manusia untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan Malaysia menghantar pulang 1,200 warganegara Myanmar ke negara asal mereka.

Selain menamakan kerajaan Malaysia selaku responden ketiga, kedua-dua pemohon turut menamakan ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri sebagai responden pertama dan kedua.

Pemohon mendakwa jika kesemua warga Myanmar itu dihantar pulang ke negara asal, mereka akan mengalami ancaman dan bahaya terhadap nyawa mereka berikutan trend kerajaan atau tentera Myanmar yang didakwa mendiskriminasi dan mengancam komuniti Muslim di negara itu. –  8 April, 2021.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen