Dasar, prosedur pengambilan pekerja asing di Malaysia jelas, kata Imigresen


Sepanjang 2020, Jabatan Imigresen melaksanakan 6,877 operasi penguatkuasaan, memeriksa seramai 100,847 orang dan berjaya menahan seramai 27,671 pendatang tanpa izin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2021.

JABATAN Imigresen menolak satu laporan media yang mengatakan bahawa dasar kerajaan yang tidak jelas menjadikan Malaysia tarikan kepada warga asing yang tiba sama ada secara sah atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing untuk Malaysia adalah jelas, dengan negara sumber telah ditetapkan, selain pekerja asing tidak layak memohon taraf penduduk tetap.

Beliau berkata kerajaan menetapkan 15 negara sumber bagi pekerja asing dan pekerja asing tidak mahir dari negara sumber itu hanya dibenarkan bekerja dalam sektor kategori 3D (berbahaya, kotor, sukar) seperti di tapak projek pembinaan, ladang kelapa sawit atau pencuci bangunan.

Negara sumber itu adalah Thailand, Filipina, Cambodia, Myanmar, Laos, Vietnam, Kazakhstan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Bangladesh, Indonesia, dan India.

“Para majikan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja tempatan untuk bekerja di dalam sektor berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata sehingga 31 Disember tahun lepas, terdapat 1.4 juta pekerja asing di negara ini memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif, dan majikan yang tidak mematuhi dasar ditetapkan akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta dan Peraturan-peraturan Imigresen, yang jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda dan dipenjarakan.

“Setiap majikan perlu memperbaharui PLKS pekerja asing mereka setiap tahun dan membayar levi mengikut sektor pekerjaan. Tempoh PLKS telah ditetapkan selama 10 tahun dan majikan diberi pilihan untuk menyambung selama tiga tahun lagi dengan kadar levi yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya Jabatan Imigresen sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan dokumen secara konsisten di seluruh negara dan sejak 1 Jan hingga semalam, 1,197 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dan 26,008 orang telah diperiksa.

Daripada jumlah itu, 4,745 pendatang tanpa izin dan 56 orang majikan telah ditahan dan didakwa manakala 5,417 pendatang tanpa izin pula telah diusir ke negara asal mereka.

Sepanjang 2020, Jabatan Imigresen melaksanakan 6,877 operasi penguatkuasaan, memeriksa seramai 100,847 orang dan berjaya menahan seramai 27,671 pendatang tanpa izin serta 386 majikan, dan seramai 37,038 pendatang tanpa izin juga telah diusir ke negara asal.

Sebagai langkah mengetatkan kawalan perairan negara, kerajaan mulai Mei tahun lepas telah melaksanakan Ops Benteng yang menggabungkan kekuatan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, katanya. – Bernama, 24 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen