Imigresen hantar pulang pendatang Myanmar biarpun ada perintah tangguh mahkamah


Seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak dengan menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar,

MALAYSIA hari ini menghantar pulang 1,086 pendatang asing tanpa izin Myanmar ke negara mereka biarpun mahkamah mengeluarkan perintah penangguhan sementara mendengar satu permohonan untuk kehakiman esok.

Kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia bagaimanapun tidak menyebut penghantaran itu dibuat sebelum atau selepas perintah mahkamah.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata proses penghantaran dibuat dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan pihak Kedutaan Myanmar, melalui pangkalan tentera laut di Lumut, Perak.

“Mereka dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak dengan menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah penangguhan penghantaran sementara permohonan oleh dua badan hak asasi manusia untuk semakan kehakiman didengar pada 10 pagi esok.

Khairul juga berkata mereka yang dihantar pulang tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya.

Jelas beliau, penghantaran pulang pendatang tanpa izin ini adalah proses biasa yang berterusan, yang bagaimanapun tergencat sejak pelbagai negara menutup pintu sempadan susulan penularan Covid-19.

Kata Khairul, proses itu akan diteruskan melalui rundingan Kementerian Dalam Negeri dan Wisma Putra dengan negara berkenaan antaranya  Vietnam, Indonesia, dan Bangladesh.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan penangguhan oleh Amnesty International Malaysia dan Asylum Acccess Malaysia, yang akan didengar meritnya esok.

Langkah itu mencetuskan bantahan pelbagai kumpulan hak asasi manusia serta agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Badan hak asasi Lawyer for Liberty (LFL) menyifatkan keputusan kerajaan menghantar kumpulan 1,200 warga Myanmar ini ke negara asal menghantar isyarat Malaysia mengiktiraf tindakan rampasan kuasa tentera.

Tentera Myanmar merampas kuasa kerana enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya umum pada November 2020 yang dimenangi oleh Aung San Suu Kyi dan partinya Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Dengan rampasan kuasa itu, tentera meletakkan Myanmar di bawah perintah darurat selama setahun, namun dibantah oleh ribuan rakyat yang sejak beberapa hari lalu mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya di beberapa bandar utama di serata negara. – 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen